Isu Semasa, Rencana

Perlantikan PM baharu: ‘wake up call’ PH kerja lebih kuat untuk rakyat

Oleh Sheikh Umar Ali, ADUN Paloh

1. Menjunjung kasih titah kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Keputusan ini telah dibuat mengikut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan.

2. Suka atau tidak, itulah hakikatnya.

3. Sepertimana mandat rakyat menerusi PRU ke-14 lalu, pastilah Ismail Sabri bukan pilihan saya. Pada dasarnya, pastilah bukan juga pilihan rakyat yang telah memenangkan Pakatan Harapan pada PRU lalu.

4. Kita tahu, sejak kemenangan Pakatan Harapan pada PRU-14 pastilah UMNO dan BN perlu berusaha lebih keras untuk memenangi semula pilihanraya. Tapi selepas segala helah dan insiden yang berlaku – yang tidak perlu lagi diulang nyatakan disini, UMNO kembali semula di kerusi ‘pemandu’ kerajaan tanpa menunggu pilihanraya tiba.

5. Hal ini perlu menjadi iktibar oleh Pakatan Harapan dalam mengatur strategi berikutnya. Langkah kehadapan masih tidak mudah, tetapi tiada yang mustahil.

KERJA KUAT UNTUK RAKYAT

6. Sokongan rakyat yang sedia ada dalam Pakatan Harapan harus dikekalkan. Tidak dapat tidak, ia mestilah dizahirkan menerusi kerja kuat serta iltizam membawa Malaysia ke arah yang betul. 

7. Pakatan Harapan perlu tumpukan seluruh tenaga untuk membantu rakyat di saat pandemik ini. Kita harus komited untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam mengatasi krisis kesihatan serta memulihkan ekonomi negara.

8. Prinsip Pakatan Harapan kekal jelas. Agenda kita ingin membina Malaysia tanpa korupsi. Membina Malaysia yang lebih berintegriti dan mengangkat namanya setaraf negara-negara maju di dunia. Kita ingin membina negara yang adil serta saksama untuk semua anak Malaysia tanpa mengira apa juga latar mereka. Perbezaan kita samada ras, budaya, bahasa serta agama adalah sebenarnya kekuatan kita.

9. Malaysia bukan sebuah negara yang gagal. Malaysia kaya dengan hasil mahsul buminya serta khazanah budaya.

10. Politik lama yang mengambil jalan pintas menerusi pelbagai helah dan tipu daya tidak akan membawa kita kemana-mana. Idea, polisi, dasar serta iltizam untuk menyatu padukan rakyat lah yang akan membawa Malaysia ke puncak.

11. Saya hampir percaya sepenuhnya bahawa kemelut politik hari ini tidak akan berakhir selagi ahli politik yang ada terus bermain wayang dan bermuka dua demi mencapai makna kuasa semata-mata.

12. Sebagai seorang anggota, saranan saya kepada Pakatan Harapan; jangan kecewa dan berputus asa untuk Malaysia. 

13. Langkah kehadapan untuk Pakatan Harapan mesti terus diperkasa. Jalinan kerjasama parti-parti komponen perlu diperteguh dan dipereratkan. 

ANGKAT KUALITI KEPIMPINAN LAPISAN KEDUA

14. Disamping terus memberikan idea dan buah fikiran yang konstruktif bagi membawa negara keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi, kita juga harus siap sedia menyediakan barisan kepimpinan berkualiti untuk masa hadapan.

15. Suka ataupun tidak, pilihanraya ke-15 akan tetap tiba.

16. Saya cukup senang sekali melihat Pakatan Harapan bersiap siaga dengan lapisan kepimpinan barisan kedua. Kepimpinan yang lebih muda, bertenaga, ada momentum baharu serta mampu membawa wacana segar untuk Malaysia. Barisan kepimpinan muda yang peduli dengan aspirasi rakyat dan mahu melihat tanah air membangun dan maju demi  anak cucu kita.

17. Saya percaya, dunia hari ini tidak lagi sama. Cabaran Malaysia berbeza. Medium kita berbeza. Audien kita juga berbeza. Dunia digital telah membuka sempadan kita semua dalam mengakses maklumat serta mengetengahkan idea.

18. Wakil-wakil rakyat serta ahli akar umbi Pakatan Harapan perlu menjadi qudwah atau suri tauladan. Cara kita berkerja, perkhidmatan yang kita berikan di kawasan serta pendekatan yang inklusif akan dinilai oleh rakyat.

19. Saya percaya, rakyat semakin matang. Cara rakyat memahami serta menanggapi politik juga sudah tidak sama seperti dahulu. Tambahan, rakyat sudah melalui pengalaman tukar menukar kerajaan. Rakyat sudah merasa berada bawah pentadbiran pelbagai kerajaan. PRU-14 kuncinya. Taboo Barisan Nasional sejak 60 tahun dulu sudah dirobohkan.

20. Menerusi pendekatan yang ‘muda’ serta perkhidmatan terbaik hingga ke akar umbi, rakyat akan menilai serta membuat pilihan. 

21. Dan sekiranya Pakatan Harapan mencermati semua ini lalu mengambil langkah mengukuh gerak kerja menuju PRU-15, peluang cerah menunggu kita.

22. Yakin dan percaya, rakyat pasti menang. Mana-mana juga parti politik yang berdiri bersama aspirasi rakyat akan menang. Justeru, iltizam Pakatan Harapan untuk terus ikhlas berjuang demi rakyat dan Malaysia yang lebih baik, pastinya akan menghasilkan sebuah kemenangan.