Berita

Bencana kepala air: Wakil DAP salur bantuan di Yan

Oleh B. Suffian

DAP meneruskan kerja bakti membantu penduduk-penduduk yang terkesan di Yan, Kedah susulan bencana kepala air dan banjir lumpur di kawasan tersebut. 

Memandangkan air bersih merupakan keperluan utama penduduk, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong telah menghantar 24,000 botol air selain bekalan pelitup muka dan ubat-ubatan. 

Beliau menambah, Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew serta rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) Kedah membantu mengatur bekalan bantuan tersebut untuk disalurkan ke tempat yang memerlukan.

Menurutnya, bekalan tersebut akan diagihkan kepada penduduk yang terkesan seperti di Kg. Setul, Kg. Raga, Kg. Pauh dan Kg. Acheh. 

STEVEN memborong 1,000 kotak air mineral dengan 24,000 botol air keseluruhannya untuk disalurkan kepada mereka yang terkesan di Yan, Kedah. – Facebook Steven Sim

“Penduduk di sini menggunakan air masyarakat yang ditarik sendiri dari sumber air bukit. Apabila berlaku banjir lumpur dan tragedi kepala air tempoh hari, bekalan air bukit mereka terjejas teruk. 

“Nak guna untuk basuh okay lagi, tapi kalau nak minum memang tak sesuai sebab bau masam bercampur daun, akar, kayu reput dan sebagainya.

“Air bersih ialah asas kehidupan. Kalau dah tetangga kita kat Kedah minta tolong, takkan kita orang Penang nak berpeluk tubuh,” katanya di laman Facebook hari ini. 

TAN KOK YEW dan kawan-kawan PH Kedah yang lain sudah berhempas pulas di kawasan bencana sejak tragedi kepala air beberapa hari yang lalu. 

Steven memberitahu, beliau menghormati nasihat mereka yang terlibat dalam misi bantuan di sana sejak hari pertama untuk membiarkan wakil komuniti tempatan sahaja yang mengagihkan barang bantuan ke dalam kampung. 

Maklumlah tambahnya, mereka lebih arif keadaan di situ tambahan pula, semua terpaksa berjaga-jaga kerana pandemik Covid-19 masih menular. 

Beliau turut menyerahkan sumbangan kepada pusat operasi bantuan bencana PH bagi meneruskan kerja-kerja memberi bantuan kepada mangsa. 

“Bila Bukit Mertajam banjir pada 2017, orang datang bantu kita, sekarang giliran kita menabur sedikit usaha untuk jiran kita kat Kedah,” katanya. – Roketkini.com