Berita, Kenyataan Akhbar

Kes Covid-19 Johor cecah 4 angka, tapi kadar bekalan dan vaksinasi rendah

oleh Ghafar NS

Menurut Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, sejak 29 Julai 2021, negeri Johor merekodkan jumlah kes baharu empat angka dan kini bekalan vaksin pula berkurangan.

Johor dijanjikan sejumlah dua juta dos vaksin pada bulan Ogos, tetapi kini bekalan vaksin bukan sahaja didapati berkurangan, tetapi kadar vaksinasi juga rendah daripada kadar purata kebangsaan, dengan 68.3% populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, berbanding kadar kebangsaan 78%.

Teo Nie Ching berkata, 1,000 suntikan sehari disasarkan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Kompleks Sukan EduCity, tetapi kini ia berdepan kekurangan bekalan vaksin hanya dua minggu selepas dibuka.

Malah katanya, PPV EduCity Iskandar juga berdepan kekurangan vaksin, dan semua janji temu dos pertama bermula dari 23 Ogos telah ditangguhkan.

“Ini langsung tidak boleh diterima kerana kebanyakan industri pembuatan menantikan janji temu vaksin supaya pekerja mereka dapat disuntik dos lengkap seterusnya mampu beroperasi semula,

“Ramai penduduk yang berang dengan keadaan ini, lebih-lebih lagi apabila temu janji vaksinasi mereka ditangguh atau dibatalkan kerana mereka bimbang pada risiko jangkitan dan kematian.” Tambahnya dalam satu kenyataan pada 23 Ogos 2021.

Menurutnya, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mestilah adil kepada Johor dan memastikan semua PPV di negeri ini beroperasi dengan kapasiti maksimum. – Roketkini.com