Berita

Buka ruang reformasi Parlimen, lantik Timbalan Speaker dari pembangkang

Peletakan jawatan Azalina Othman Said sebagai Timbalan Speaker membuka ruang untuk reformasi Parlimen dengan melantik ahli Parlimen pembangkang untuk mengisi jawatan tersebut, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Namun, perkara ini mestilah menjadi sebahagian daripada reformasi Parlimen dan institusi yang memerlukan komitmen pelaksanaan daripada Perdana Menteri sendiri,” ujarnya dalam kenyataan, baru-baru ini. 

Azalina meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker pada 23 Ogos lalu dan disebut-sebut bakal menjadi sebahagian ahli Kabinet pentadbiran Ismail Sabri. 

Dalam pada itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri turut mengulangi gesaan agar kerajaan menerapkan strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan masyarakat” termasuk terbuka menerima cadangan dan kritikan daripada pakar untuk menangani Covid-19. 

“Seperti (kritikan dan cadangan) yang telah diberikan oleh Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai tindakan mengetepikan peranan doktor am swasta dalam Program Imunisasi Kebangsaan (PICK). 

“Ini juga termasuk pemecutan pelaksanaan program vaksinasi di negeri-negeri di luar Lembah Klang; sambungan semula program bantuan makanan khas untuk pelajar sekolah dan dasar baharu untuk mengakhiri angka kematian akibat Covid-19 yang tinggi dan untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat,” ujarnya. 

Tambahnya, krisis politik dihadapi negara hanya boleh diselesaikan dengan semua parti politik kembali kepada prinsip pembinaan negara bangsa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara — sistem monarki berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, dan penghormatan kepada hak asasi manusia. 

“Kita perlu kembali kepada kehidupan normal sebelum kita boleh memulakan fasa seterusnya perjuangan untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia untuk Malaysia menjadi sebuah sinar cahaya dalam dunia yang kelam dna terganggu. 

“Namun, sebelum kita boleh menjadi ‘sinar cahaya’ kepada dunia, kita perlu mencapai status negara hebat bertaraf dunia, bukannya kekal dalam arah menjadi sebuah negara gagal. 

“Inilah cabaran yang dihadapi oleh Perdana Menteri baharu kita,” ujarnya. — Roketkini.com