Rencana

Kejatuhan Muhyiddin : Apa yang boleh kita belajar?

Oleh Fakhrurrazi Rashid

(Koordinator Penyelidik Research For Social Advancement (REFSA))

Selepas Dato’ Seri Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021, tentunya rakyat tertunggu-tunggu apakah tindakan dan pembaharuan yang bakal dilakukan beliau bagi mengatasi pandemik dan ekonomi negara.  

Ada yang memberi ruang kepada Ismail Sabri untuk menunjukkan kemampuannya menguruskan negara dan berharap kerajaan baharu tidak mengulangi kecuaian yang dipamerkan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi, kebanyakan rakyat begitu kecewa dengan perkembangan hari ini dan menganggap Ismail Sabri hanya meneruskan legasi #KerajaanGagal Perikatan Nasional (PN).

Kestabilan politik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sudah mula diuji. Pertama, perdebatan PPBM dan UMNO untuk menentukan sama ada kerajaan Ismail Sabri digelar Barisan Nasional (BN) atau PN. 

Kedua, pemilihan Timbalan Perdana Menteri dan jemaah menteri yang masih menimbulkan pelbagai persoalan dari sudut kemampuan dan integriti. Jika ujian ini tidak diatasi dengan cermat, maka rakyat terpaksa menanggung polemik politik yang cukup membebankan.

Dari sudut yang berbeza, situasi ‘kelam’ politik hari ini telah memberi kita beberapa pengajaran untuk membentuk perspektif baharu dalam politik negara.  Perubahan ini bakal menambah citrawarna politik dan  menguji amalan politik lama yang dilihat tidak mampu  untuk mengatasi cabaran politik, ekonomi, dan kesihatan Malaysia dalam jangka panjang. Maka, apakah perkara baharu yang boleh kita saksikan susulan polemik hari ini? 

Pertama, jawatan kanan atau hirakri parti politik bukanlah faktor utama dalam memilih Perdana Menteri dan jemaah menteri. Ismail Sabri merupakan pemimpin UMNO pertama yang menjadi Perdana Menteri tetapi tidak menyandang jawatan Presiden parti. 

Ia sekaligus telah memecahkan tradisi UMNO, khususnya parti-parti Melayu, yang sering melihat Presiden atau pemimpin kanan parti mempunyai keutamaan menjadi Perdana Menteri atau Menteri Kabinet. Persaingan politik yang sengit hari ini telah membuka ruang kepada mana-mana ahli parlimen menjadi pemimpin utama dalam kerajaan.

Apa yang lebih penting, Perdana Menteri akan datang bukan sahaja perlu mendapatkan sokongan parti, tetapi perlu mendapat sokongan merentasi parti di parlimen untuk mengekalkan kepercayaan bagi meneruskan pentadbiran. 

Maka, sekiranya Perdana Menteri akan datang gagal memahami konsep kerjasama dwipartisan dengan pembangkang, maka ia belum menjamin kedudukannya selamat daripada ujian keabsahan di parlimen.  

Kedua, kebanyakan rakyat sudah mula melihat kepentingan barisan kepimpinan yang berfungsi dalam menerajui negara. Mereka mula sedar bahawa Perdana Menteri tidak mampu menjalankan tadbir urus dengan baik tanpa pasukan kabinet yang berwibawa dalam kerajaannya. 

Buktinya, Muhyiddin Yassin yang selama ini dianggap sebagai Perdana Menteri kuat dan berwibawa akhirnya tidak memberi impak besar untuk mengatasi Covid-19 kerana prestasi buruk yang ditonjolkan kabinetnya. Kecuaian menteri-menteri PN telah mencetuskan kemarahan rakyat  dan menjadi punca kerajaan PN mampu bertahan 17 bulan sahaja. 

Meskipun Ismail Sabri telah dilantik menjadi Perdana Menteri, namun rakyat bimbang dengan pasukan bakal dibentuk Ismail Sabri yang dilihat kurang berkaliber berbanding Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang yang mempunyai pasukan yang cukup meyakinkan untuk menjadi menteri yang efektif seperti Hannah Yeoh, Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Saifuddin Nasution, dan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. 

Perkembangan ini bakal menyaksikan mana-mana gabungan dan parti politik perlu bersedia menawarkan sebuah pasukan kepimpinan yang berfungsi sekiranya menjadi jemaah menteri untuk pilihan raya akan datang. 

Ketiga, politik dasar akan mendominasi politik negara. Berdasarkan Laporan Tinjauan Belia Kebangsaan 2021 daripada Merdeka Center, 88 peratus anak muda melihat Malaysia perlukan idea politik yang lebih sagar. Dapatan ini menunjukkan bahawa krisis pandemik telah membuka ruang kepada rakyat, khasnya anak muda, membincangkan idea baharu untuk mengetengahkan dasar yang boleh mengatasi cabaran yang bakal dihadapi negara.

Contohnya, sekiranya Prosedur Operasi Standard  (SOP) yang dikeluarkan kerjaan dilihat lemah dan banyak kelompongan, rakyat sudah mula membangkitkan pertanyaan dan cadangan untuk menambah baik peraturan tersebut. 

Maksudnya, rakyat sudah mula memandang  serius aspek sains dan fakta dalam membuat keputusan harian mereka. Jika tidak, nyawa mereka juga dalam keadaan bahaya kerana keputusan dan dasar kerajaan yang lemah.

Politik dasar akan menjadi ‘game changer’ kepada budaya politik Malaysia. Sekiranya masih ada parti politik yang selesa ditakuk lama tanpa menawarkan solusi yang inklusif, ada kemungkinan parti tersebut tidak menjadi pilihan utama rakyat. 

Kita harus akui, krisis politik yang berlaku kerana kurangnya iltizam politik untuk menambahbaik amalan demokrasi dan tadbir urus negara.  Krisis pandemik telah membuka mata rakyat dan pemimpin bahawa Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan idea politik yang segar supaya kelemahan yang dihadapi rakyat hari ini tidak berulang pada masa hadapan. 

Hari ini, dalam situasi demokrasi negara yang berada dalam keadaan 50-50, kestabilan politik bukan lagi ditentukan oleh badan eksekutif, tetapi ia bergantung kepada sejauh mana pihak kerajaan, pembangkang, dan rakyat  dapat bekerjasama dalam tadbir urus negara. 

Apa yang lebih penting dalam era ini adalah untuk memastikan sistem demokrasi negara benar-benar berfungsi untuk menyelesaikan cabaran dihadapi rakyat, bukan berpusat kepada kepentingan kelompok kecil yang sering meminggirkan aspirasi rakyat.