Isu Semasa

Kerajaan perlu lakukan ujian saringan massa dan cepatkan kadar vaksinasi harian

Oleh Aziera NH 

DAP menggesa kerajaan untuk melakukan ujian saringan massa selain mempercepatkan kadar vaksinasi yang semakin menurun daripada sasaran harian 500,000 dos.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan, ujian saringan massa dan vaksinasi adalah satu-satunya bentuk perlindungan yang tersedia kepada kumpulan rentan rakyat Malaysia, terutama mereka yang tidak sihat dan mempunyai masalah kesihatan.

Tambahnya, kerajaan juga perlu menjelaskan mengapa kadar vaksinasi harian menurun dari sasaran harian 500,000 dos kepada 396,578 dos pada 23 Ogos 2021. 

“Kerajaan perlu menjelaskan mengapa kadar vaksinasi menurun dari 531,114 dos pada 18 Ogos kepada kurang daripada 400,000 dos sekarang.

“Usaha ujian saringan massa perlu diperluas kepada sekurang-kurangnya 1 peratus penduduk atau 320,000 ujian setiap hari di Malaysia supaya jangkitan dapat dikesan lebih awal dengan kuarantin dan rawatan. 

“Imuniti kelompok harus dicapai hanya melalui suntikan vaksin, bukan melalui jangkitan dan suntikan vaksin,” ujarnya. – Roketkini.com