Uncategorized

Teladani sejarah mereka yang jujur berpolitik

Oleh Nor Miswary Ramli

Sejak kecil, saya mengamati politik hanya daripada kaca mata sendiri. 

Saya mendengar, melihat dan belajar dari apa yang ayah saya dan rakan-rakan politiknya bahaskan semasa mereka bertandang ke rumah samada untuk bermesyuarat, berkelahi atau berbincang sampai ke pagi. 

Apa yang saya kutip hanyalah apa yang saya dapat dari sesi ‘ceramah’ atau ‘kuliah’ kecil ayah saya. Ianya tidak terus dihidang kepada saya. 

Saya hanya mengambil iktibar dan belajar dari sesi pengalaman itu.

Kemudian, saya semacam melihat sesuatu yang berbeza. 

Saya didedahkan kepada satu jenis politik yang tidak saya lihat pada rakan-rakan beliau mahupun YB-YB yang selalu datang menghabiskan kopi dan biskut kering di rumah kami. 

Nor Miswary

Saya masih ingat semasa tersebarnya fitnah terhadap Abg Mat Sabu yang masih dalam PAS waktu itu, ayah saya mempertahankannya dengan mengatakan ia adalah fitnah jahat untuk menjatuhkan ayam sabung PAS itu. 

Beliau tidak termakan umpan politik fitnah sebegitu walaupun ianya modal paling menguntungkan buat UMNO ketika itu. 

Berbanding dengan pemimpin atau rakan-rakan politiknya yang lain, peluang untuk menjaja fitnah tersebut untuk untung sekupang dua tidak dilepaskan.

Semua ini ternyata menjadikan stigma ‘politik itu kotor’ kekal dan terus dijual sehingga menggagalkan usaha mereka yang bersungguh-sungguh mahu menggambarkan politik itu baik biarpun anjal tetapi bersih. 

Biar siapa atau apa pun warna politik yang dibawa oleh individu dan sesebuah parti, dakwaan ‘politik itu kotor’ masih menebal. 

Ramai yang mencanang-canang; yang kotor hanyalah individu di dalamnya, walhal politik itu seaslinya bersih. 

Jadi, kenapa sehingga kini ia masih dilihat kotor? 

Kini setelah hampir mendekati sepuluh tahun secara rasmi saya menjadi ahli sebuah parti politik, ternyata saya masih terlalu jauh daripada layak untuk membersihkan apa yang dikatakan ‘politik itu kotor’. 

Saya bukanlah politisyen atau mampu mengungkap dan memegang perkataan hikmat ‘perjuangan’ apatah lagi menjadi faktor penting kepada usaha pembersihan. 

Namun, dengan sedikit yang saya lalui yang perlahan-lahan dihadam melalui pengamatan di sekeliling dan teladan ayah dalam medan politik, saya mahu percaya yang kita masih memiliki politik jujur bagi menggantikan ‘politik itu kotor’ yang diratib orang.

Jujur itu perlu ada bukan sahaja ketika berdepan rakan atau pimpinan dalam parti, malah kita juga harus jujur terutama sekali dengan rakan-rakan di luar parti di dalam gabungan yang sama. 

Saya teringat suatu ketika – saya seakan tidak mahu percaya – apabila saya sendiri menyaksikan seorang pemimpin yang mengulas dan meyakinkan mereka yang hadir mendengar kuliah maghribnya mengenai satu fitnah terhadap seorang pemimpin daripada parti lain dalam gabungan mereka. 

Kejujuran beliau saya persoalkan seusai kuliah. 

Kita harus jujur dengan sesiapa sahaja dalam perjuangan ini dan kejujuran itu wajar diletak pada tempat serta masa yang sesuai. 

Ada yang perlu diberitahu dan dibahaskan semahunya di gelanggang terbuka dan ada yang tidak-lah sampai perlu berbohong, cuma kulumlah di dalam mulut dan simpanlah di dalam perut jika mudaratnya lebih besar. 

Bukankah itu salah satu kemahiran seorang ahli politik?

Kita mesti meneladani sejarah mereka yang jujur dalam berpolitik. 

Mereka ini juga mahu menang, kerana mereka tahu hanya dengan kemenangan sahajalah mereka akan memperolehi kuasa dan dengan kuasa itulah mereka boleh mengerjakan pelbagai polisi yang bermanfaat dan menuntungkan rakyat. 

Namun memperolehinya dengan jalan yang baik, jalan yang bersih dan jujur jauh lebih berharga dan tentunya akan bertahan lebih lama. 

Saya sungguh-sungguh mahu mempercayai bahawa ‘politik itu kotor’ dapat dibersihkan jika kita benar-benar mengamalkan politik jujur dalam kalangan kita. – Roketkini.com