Berita

Ketepikan perbezaan politik, bersama lawan Covid-19

Oleh B. Suffian 

Apa pun perbezaan politik yang ada, semua parti politik perlu menunjukkan kesediaan mengetepikannya demi memastikan matlamat memenangi perang melawan Covid-19 tercapai. 

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, ini supaya Malaysia boleh beralih ke fasa pemulihan negara dan ekonomi. 

“Kita mungkin berada di kerusi pembangkang, namun apabila negara berdepan krisis, semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, wilayah atau politik harus bersatu supaya negara dapat mengharungi cabaran ini,” katanya hari ini. 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH). 

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sebagai berkata, PH tidak akan ‘mempersulitkan’ undi percaya terhadap Ismail Sabri jika beliau mengambil langkah demi kepentingan rakyat.

Kit Siang menambah, beliau teringat semula seruannya pada sambutan Hari Kebangsaan ke-30 pada 1987, di mana beliau menyeru supaya pemimpin tertinggi politik mengadakan perbincangan untuk menurunkan suhu perkauman di negara ini. 

Beliau berkata, ia supaya tumpuan lebih boleh diberikan untuk memulihkan ekonomi negara. 

Sementara itu, Kit Siang turut menyenaraikan empat ujian yang perlu dihadapi kerajaan Ismail Sabri. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, empat ujian itu adalah:

  1. Mampukah kes harian baharu Covid-19 dikurangkan untuk tidak melepasi paras 1.7 juta pada Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos?
  2. Mampukah kes kematian akibat Covid-19 dikurangkan untuk mengelakkan negara mengumpulkan lebih 16,000 kes kematian menjelang Hari Kebangsaan ke-64? 
  3. Mampukah kes harian baharu dikurangkan untuk mengelakkan jumlah keseluruhan kes jangkitan wabak tersebut melepasi paras 2 juta pada Hari Malaysia ke-58 pada 16 September?
  4. Mampukah negara dielakkan daripada melepasi paras 19,000 untuk jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 pada Hari Malaysia ke-58?

“Sekarang adalah waktu genting yang memerlukan tindakan pantas dan Ismail Sabri harus segera berusaha untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19,” katanya. – Roketkini.com