Berita

Pertemuan PH-Ismail mampu ubah landskap, budaya politik negara – Anthony

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke menyambut baik pertemuan antara pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Menyifatkan ia sebagai peristiwa bersejarah politik Malaysia, katanya, pertemuan itu berpotensi mengubah landskap dan budaya politik negara jika disusuli dengan reformasi pentadbiran kerajaan dan pemerkasaan Parlimen.

“Paradigma lama di mana parti kerajaan melihat parti pembangkang sebagai musuh politik semata-mata atau sebaliknya perlu dianjak dan diubah. 

“Kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing dan perlu ada kerjasama walaupun kami tetap akan berlawan antara satu sama lain dalam pilihanraya,” ujarnya di Facebook, baru-baru ini.

Ismail dan tiga pemimpin utama parti-parti PH dalam satu kenyataan mencapai kata sepakat untuk mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis penularan wabak Covid-19 dan ekonomi negara.

Pertemuan itu juga bersetuju bahawa Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif dijadikan supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Kenyataan tersebut ditandatangani Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Ismail.

Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, cabaran kini adalah untuk kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang mencari jalan merealisasikan semangat yang dipersetujui dalam kenyataan bersama tersebut. 

“Saya cukup yakin bahawa sekiranya kedua-dua pihak mengambil satu langkah ke belakang, kami mempunyai ruang yang cukup besar untuk mencapai satu persefahaman yang akan memberi impak positif jangka panjang kepada negara kita.

“Setiap ahli politik mempunyai tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara kita,” katanya. — Roketkini.com