Rencana

Berjiwa besar untuk Khemah Besar

Oleh Nor Miswary Ramli

Kerangka ‘Khemah Besar’ yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) kini mendapat semangat tambahan apabila Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah diterima menjadi salah satu parti komponen Pakatan Harapan seperti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam.

Selain UPKO, terdapat ramai lagi parti-parti blok Pembangkang yang diharap dapat bersama dalam PH. 

Penyatuan parti-parti blok Pembangkang di bawah satu jenama, satu logo dan satu laungan sahajalah mampu menjadikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 jadi nyata. 

Begitupun, ramai juga penganalisis politik memberikan pelbagai pandangan negatif termasuk ada yang mencurigai akan masa depan konsep ‘Khemah Besar’ ini berdasarkan faktor kepimpinan setiap parti, idealisme yang diperjuangkan dan sejarah lampau di kalangan pemimpin parti-parti blok Pembangkang yang lain.

Jujur saya akui ianya kelihatan sukar di atas kertas. Tapi begitulah dinamika politik Malaysia terutamanya sejak sepuluh tahun kebelakangan ini. 

Tidak ada sesiapa yang mampu menjangka dan membuat tafsiran yang tepat apa yang mungkin akan berlaku seterusnya. Semua yang di atas kertas tampak mustahil menjadi realiti. 

Menyingkap sejarah PRU-14, kemenangan yang dirangkul, kerjasama UMNO dan PAS, para pemimpin yang khianat melompat membentuk kerajaan dengan pihak yang mereka lawan dan pelbagai senarai panjang yang lain menjelaskan segala-galanya. 

Jadi, biarpun saya jujur untuk mengakui kesukarannya, tetapi saya juga mahu berlaku adil dan percaya yang kita telah bersedia menerima sebarang peluang atau kemungkinan yang ada walaupun ianya terlalu kecil.

Formula menyatukan semua parti di bawah sebuah khemah besar hanya boleh berlaku apabila kita bersedia mengakui perbezaan dan menerima sekurang-kurangnya satu titik persamaan yang dikongsi bersama. 

Kita mesti menahan diri daripada mencari kelemahan dan menjaja kekurangan parti-parti Pembangkang lain yang berpotensi untuk duduk bersama di dalam konsep Khemah Besar ini. 

Yang di dalam jangan terlalu besar diri dan yang diluar pula janganlah berkira sangat. Tidak ada yang terlalu besar atau terlalu kecil untuk dipertimbangkan. 

Dan hal yang saya maksudkan ini bukan sekadar untuk renungan pimpinan parti di peringkat tertinggi, ianya juga terpakai kepada saya dan kita semua yang mungkin hidup seharian berdepan rakan-rakan kita yang telah sedia ada di dalam gabungan dan berpotensi menyertai gabungan. 

Kita mestilah berjiwa besar untuk Khemah Besar ini. 

Kita juga tidak boleh mengabaikan peranan yang dimainkan oleh ahli-ahli parti lain yang masih berada di luar gabungan, walaupun peranan tersebut mungkin dianggap sangat kecil atau tidak signifikan pada pandangan sendiri. 

Jiwa besar ini tentulah terpakai buat penyokong parti jua – tidak terkecuali.

Menjelang PRU-15 yang dijangka tahun hadapan, Pakatan Harapan dan blok Pembangkang tidak mempunyai banyak masa dan banyak pilihan. Khemah Besar yang ditawarkan mesti dijayakan. 

Menyambung dan membesarkan dinding rumah yang sedia ada untuk mengisi lebih ramai ahli keluarga mungkin sukar, namun membina sebuah struktur baharu dengan perbelanjaan yang baharu dan risiko menjadi atau tidak, tentunya jauh lebih sukar. 

Apa yang diperlukan untuk menjadikannya realiti, adalah dengan membuang semua prasangka dan kecurigaan di kalangan kita – para penyokong parti. 

Bersedia menerima walaupun sedikit perubahan, lebih anjal kepada setiap perbincangan dan pegang kemas persetujuan yang diolah bersama. Pokoknya bersama.

PRU-15 nanti tidak akan sama seperti PRU-12 yang lalu. Malah pasti berbeza berbanding PRU-14 yang lepas. 

Banyak strategi yang perlu dicanai semula. Banyak kaedah yang tidak boleh diperbaiki dan ada yang perlu diperkemaskan lagi. Banyak formula kelihatan mula beralih dari tempat asalnya. 

Namun, satu-satunya formula yang masih kekal dan boleh digunakan pakai semula ialah; kesemua parti-parti Pembangkang duduk ‘sekhemah’ dan bergerak bersama sebagai satu entiti. 

Khemah besar yang tujuannya tidak lain hanyalah untuk memayungi rakyat berdepan lebat hujan dan petir kilat. 

Tulisan ini bukanlah retorik, ia cuma harapan yang tulus buat para penyokong – sama ada yang di dalam gabungan dan yang masih di luar gabungan – jiwa besar kita ini mesti diterjemahkan dengan perkataan dan tindakan yang mendorong kita untuk bersama dan bukan menolak orang lain menjauh pergi. 

Kerja kita adalah memudahkan Khemah Besar ini dilihat lebih luas dan lebih ikhlas untuk menerima rakan-rakan baharu dan mengekalkan komponen di dalamnya – dengan formula ini sahajalah Khemah Besar kita akan berjaya. – Roketkini.com