Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Lim Kit Siang sokong CSA reformasi untuk tumpu perang Covid-19

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyatakan sokongannya terhadap perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang berasaskan reformasi dengan kerajaan bagi mengetepikan politik dan menumpukan perang melawan Covid-19.

Katanya, semua rakyat Malaysia mesti bersatu dalam hal itu.

“Mengurangkan kes Covid-19 kepada angka tiga digit pertama dan kemudian angka dua digit dan mengurangkan kematian Covid-19 kepada angka dua digit pertama dan kemudian kepada satu angka adalah paling penting dan mustahak.

“Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama, wilayah atau politik mesti bersatu dalam usaha nasional ini.

“Inilah sebabnya mengapa saya menyokong pada dasarnya Pakatan Harapan dan pembangkang mencapai perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi dengan kerajaan supaya kita mengetepikan politik selama 12-18 bulan dan semua rakyat Malaysia memberi tumpuan untuk memenangi perang melawan pandemik Covid-19, kembalikan negara kepada sedia kala dan mulakan pemulihan negara dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Namun, Veteran DAP itu berkata CSA reformasi ini mestilah perjanjian yang bermakna, dan bukan dokumen kosong. – Roketkini.com