Kenyataan Akhbar

Suara Orang Asal, isu alam sekitar dan hak asasi manusia akan terus diangkat – Adrian Lasimbang

Kenyataan Media Pengarah Pendidikan Politik, DAP Sabah, Adrian Lasimbang pada 27 Ogos 2021

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sdr Lim Guan Eng dan DAP Sabah atas kepercayaan melantik saya sebagai Ahli Dewan Negara semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.

Sepanjang tempoh lantikan saya sebagai senator, saya telah terlibat dengan aktif dalam kaukus reformasi Dewan Negara satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Dewan Negara untuk memajukan agenda reformasi Parlimen and memartabatkan Dewan Negara sebagai institusi pengubal undang-undang tertinggi di negara kita, satu agenda yang penting bagi Pakatan Harapan.

Saya juga telah diberi peluang untuk mewakili Dewan Negara dalam Jawatankuasa Rentas Parti Parlimen Malaysia berkenaan Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) satu jawatankuasa yang antara lainnya mempromosi agenda pembangunan mampan dan meningkatkan kesedaran dikalangan ahli Parlimen berkenaan komitmen Malaysia dalam memerangi perubahan iklim dunia.

Isu rakyat Sabah selalu jadi keutamaan Adrian

Sepanjang berkhidmat sebagai senator, saya dan rakan senator YB Alan Ling dari DAP Sarawak tanpa henti membawa isu penting bagi Sabah dan Sarawak di Dewan Negara terutamanya berkait dengan hak hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam penubuhan persekutuan Malaysia seperti yang terkandung dalam perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sesungguhnya MA63 merupakan agenda penting yang secara konsisten di angkat oleh DAP dalam perjuangannya.

Kelmarin, pada 26 Ogos 2021, secara rasminya tempoh perlantikan saya sebagai Senator Malaysia telah tamat.

Saya ambil peluang ini juga untuk ucapkan jutaan terima kasih kepada Mantan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Vigneswaran yang banyak memberikan peluang dan tujuk ajar serta memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam kaukus reformasi Dewan Negara yang telah menjalankan mandat yang diberikan oleh Parlimen Malaysia.

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Rais Yatim, Yang Dipertua Dewan yang telah memimpin dewan dengan baik. Segala teguran dan tunjuk ajar yang berikan amat bermakna. Kepada rakan yang masih berkhidmat, teruskan khidmat yang terbaik untuk Negara. Saya berharap semoga agenda reformasi Parlimen terus dapat diperjuangkan dan kita terus dapat mengangkat Dewan Negara sebagai institusi penggubal undang undang tertinggi di negara kita.

Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan tahniah kepada semua rakan senator yang telah terpilih menganggotai kabinet kerajaan yang baru. Semoga dapat menjalankan tugas dengan baik.

Sungguhpun saya bukan lagi berkhidmat sebagai senator di Parlimen, namun saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat khususnya masyarakat Orang Asal di Negara ini dan akan terus bergiat aktif dalam membawa agenda pembagunan mampan, alam sekitar dan hak asasi manusia.

Semoga kita dapat dibebaskan dari cengkaman wabak COVID-19 dan sehingga bertemu di wadah perjuangan yang seterusnya.