Berita, Rencana

Kepentingan jawatankuasa Parlimen memantau ketelusan MPN

Oleh Fakhrurrazi Rashid

(Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA))

Semasa menyampaikan ucapan sulung kepada seluruh rakyat Malaysia, Perdana Menteri ke-9, Dato Sri’ Ismail Sabri Yaakob telah memberi komitmen meneruskan Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebagai usaha dwipartisan dengan pembangkang bagi memantau Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

Rakyat telah memberi reaksi positif ke atas komitmen Perdana Menteri dan mengharapkan kedua-dua pihak bekerja keras demi memulihkan krisis pandemik dan ekonomi negara yang masih tidak menentu. Namun, sejauh manakah tawaran Ismail Sabri kepada pembangkang untuk menyertai MPN boleh melakukan perubahan besar kepada rakyat?

Faktanya, MPN merupakan sebuah jawatankuasa kabinet yang ditubuhkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Julai 2021. Meskipun ia sudah bertukar status kepada “Majlis”, kuasa menentukan dasar terletak sepenuhnya kepada kabinet, khasnya Perdana Menteri sebagai Pengerusi MPN.  

Ini bermaksud, Perdana Menteri mempunyai kuasa besar dan boleh mengenepikan cadangan yang dikemukakan tenaga pakar dalam MPN sekiranya bercanggah dengan kehendaknya. 

Komposisi MPN yang terdiri daripada sembilan orang menteri, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan sembilan orang pakar dalam pelbagai bidang. 

Dengan 21 orang anggota MPN, adakah ahli parlimen pembangkang juga akan mendapat jumlah perwakilan yang sama banyak dan sejauh manakah cadangan mereka akan didengari menteri dalam MPN? 

Hakikatnya, struktur MPN ini dilihat tidak berkesan untuk membuat keputusan bersama kerana dominasi kerajaan yang begitu besar. Perlu ada pendekatan alternatif yang memberi ruang kepada pembangkang meneliti keputusan MPN agar objektif PPN dapat dicapai berpandukan sains dan fakta berdasarkan proses dasar yang telus dan berintegriti. 

Mengapa tidak jawatankuasa parlimen?

Bagi memastikan MPN benar-benar berfungsi, saya berpendapat bahawa sebuah jawatankuasa khas parlimen perlu ditubuhkan sebagai badan semak dan imbang bagi meneliti pelaksanakan PPN dan MPN secara khusus. Mengapa saya berpandangan begini?

Pertama, jawatankuasa khas parlimen boleh memperkukuh semak dan imbang ke atas pelaksanaan PPN secara objektif. Perkara ini penting memandangkan MPN hari ini hanya bertanggungjawab kepada Perdana Menteri dan ia boleh menyebabkan keputusan dibuat berdasarkan kepentingan kerajaan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh.

Kedua, fungsi jawatankuasa khas parlimen lebih praktikal dan realistik dalam mendapat maklumat berbanding jawatankuasa kabinet. Secara asasnya, jawatankuasa khas parlimen mempunyai ruang dan kemampuan mengadakan siasatan, kajian, dan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh merentasi pelbagai sektor untuk mendapatkan maklumbalas tentang impak pelaksanaan PPN ke atas mereka. 

Perkara ini sukar dibuat kerajaan yang mempunyai masa yang terhad dengan tugasan lain. Limitasi ini boleh menjadi punca segala dasar dirangka kerajaan hanyalah tangkap muat dan berpandukan input daripada pentadbiran awam yang selalunya tidak memberi gambaran jelas tentang situasi sebenar yang berlaku di lapangan. 

Pendekatan “bottom-up” jawatankuasa khas parlimen dapat memberi nilai tambah dalam proses menambahbaik PPN bagi menguruskan pandemik Covid-19. Malah, rakyat mudah mendapat akses untuk memberi pandangan kepada jawatankuasa khas parlimen berbanding MPN yang penuh birokrasi dan formaliti. 

Pendekatan membentuk sebuah jawatankuasa khas parlimen dalam memantau pelaksanaan dasar mengatasi Covid-19 telah diamalkan di beberapa negara. Contohnya, di parlimen Australia, sebuah jawatankuasa ditubuhkan pada 8 April 2020, iaitu  Senate Select Committee on COVID-19, untuk memantau pelaksanaan dasar mengatasi Covid-19 kerajaan Australia. 

Jawatankuasa ini mempunyai tujuh orang anggota iaitu tiga orang daripada ahli parti pembangkang, dua orang parti kerajaan, dan dua orang bagi ahli parlimen bebas atau minoriti dan dipengerusikan ahli parlimen pembangkang. Sehingga hari ini, jawatankuasa ini telah mengeluarkan laporan hasil siasatan dengan pelbagai pihak merentasi pelbagai sektor untuk menyemak dasar kerajaan menguruskan Covid-19.

Berpandukan kepentingan prinsip dan amalan yang praktikal, bukankah ini menunjukkan Malaysia memerlukan sebuah jawatankuasa khas parlimen bagi meneliti pelaksanaan PPN dan pengurusan MPN agar ia efektif dalam menguruskan pandemik dan ekonomi negara?

Dwipartisan perlu dilaksanakan

Perdana Menteri dan pembangkang perlu bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa khas parlimen bagi memantau MPN. Langkah ini dapat memastikan kerajaan Ismail Sabri bermula dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan pentadbiran Muhyiddin yang gagal melihat parlimen sebagai rakan strategik ketika pandemik. 

Wajar sekiranya kerajaan dan pembangkang menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Bersama Parlimen (Joint Select Committee) yang turut dianggotai ahli Dewan Negara. Kehadiran Senator dalam jawatankuasa ini membolehkan mereka memberi pandangan konstruktif berdasarkan kepakaran tertentu yang selama ini dipinggirkan pimpinan negara. 

Komposisi ahli dalam jawatankuasa ini tidak melebihi sembilan orang dan ahli parlimen daripada parti pembangkang perlu dipilih sebagai pengerusi jawatankuasa bagi memperkukuh semak dan imbang ke atas pelaksanaan dasar kerajaan. Apa yang penting, ahli-ahli jawatankuasa ini harus seimbang dan sekata agar ia dilihat mewakili pandangan yang merentasi politik kepartian 

Dengan menubuhkan jawatankuasa khas parlimen untuk memantau pelaksanaan PPN dalam memerangi Covid-19, Ismail Sabri dapat menunaikan janjinya untuk menjalinkan kerjasama dwipartisan dengan pembangkang. 

Cuma, sejauh manakah Ismail Sabri dapat melakukan perubahan seperti ini selepas beliau tidak membuat perubahan yang besar dalam pembentukan kabinet dengan mengekalkan menteri-menteri yang gagal ketika pentadbiran Muhyiddin? 

Jika Ismail Sabri komited menubuhkan jawatankuasa khas parlimen untuk memantau tadbir urus MPN dan PPN, tentunya ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbirannya dalam mengurus pandemik. Jika tidak, kerajaan İsmail Sabri akan goyah dan terpaksa berdepan tekanan dan hilang kepercayaan di parlimen kerana gagal melakukan perubahan yang diperlukan. — Roketkini.com