Rencana

Ismail Sabri terlepas peluang untuk lakukan perubahan


Oleh Nor Miswary Ramli

Semalam kesemua menteri menteri Kabinet Perdana Menteri (PM), Ismail Sabri Yaakob berjaya diregukan dan ditabalkan. 

Namun begitulah, semenjak nama-nama menteri dan timbalan menteri diumumkan oleh PM Ismail Sabri minggu lepas, ia tidak pun mengujakan. Anti-klimaks dan sangat mengecewakan. 

Biarpun tidak ramai yang memberikan harapan yang tinggi sebelum senarai tersebut dikeluarkan, tetapi dengan pergelutan politik yang memakan hampir seminggu lamanya, turun naik istana, persaingan karektor politik daripada UMNO, Bersatu dan parti-parti blok pembangkang, malangnya ‘kemenangan’ Ismail Sabri dipersiakan begitu sahaja.

Tetapi apakan daya. Ismail Sabri mendapat kedudukan pun hasil daripada ihsan parti-parti sekutunya dengan kecurigaan dan tiada jaminan kesetiaan. 

Jawatan dan kuasa sahaja yang boleh mengikat Ahli- ahli Parlimen ini. Inilah yang menyebabkan mereka yang dilantik menjadi Menteri dan Timbalan Menteri langsung tidak mampu untuk memuaskan hati rakyat, penyokong parti atau pun mungkin penjawat awam. 

Yang pasti, ia tentu dapat menggembirakan ketua-ketua parti dan ahli-ahli parlimen yang mendokongnya untuk naik menjadi Perdana Menteri.

Ismail Sabri adalah Perdana Menteri yang kalah sebelum beliau mahu menang. 

Melantik semula mantan Menteri yang telah gagal dan derhaka, adalah petanda Ismail Sabri tidak mempunyai kemahuan politik untuk membuat perubahan. 

Beliau hanya mahu menjamin kedudukannya dan tidak peduli siapa pun yang dilantik, samada boleh buat kerja atau tidak atau yang pernah gagal dalam melaksanakan kerja mereka sebelum ini. 

Melantik semula Menteri Kewangan, Menteri Wanita, Menteri Pendidikan, Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri MITI di tempat yang sama di mana mereka pun turut berada dalam Kerajaan Gagal pimpinan Muhyiddin Yassin atau hanya sekadar bertukar ganti kedudukan Menteri seperti yang dilakukan ke atas Dr Adham Baba, Takiyuddin Hassan dan Annuar Musa (sekadar menyebut beberapa nama), ternyata kabinet Ismail Sabri hanyalah bayangan Kerajaan Gagal 2.0 yang bakal kita hadapi selepas ini.

Ismail Sabri sepatutnya mengecilkan kabinetnya.

Beliau tidak sepatutnya mengekalkan jumlah kabinet yang sama sebagaimana kabinet Muhyiddin Yassin sebelum ini. 

Jumlah anggota kabinet yang ramai hanya menterjemah nafsu Perdana Menteri untuk mengagihkan kuasa sabagai galang ganti sokongan yang diberikan kepadanya dan bukan untuk menangani masalah negara yang sedang dihadapi. 

Beliau harus lebih berani menamakan mereka yang dilihat berkampuan dan berkebolehan atau sekurang-kurang orang baharu yang tidak duduk dalam kabinet Kerajaan gagal sebelum ini. 

Nama-nama seperti Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki atau mungkin Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, langsung tidak mendapat perhatian. 

Malah dengan tidak melantik Timbalan Presiden UMNO atau Setiausaha Agung UMNO ke dalam kabinetnya, jelas sekali yang Ismail Sabri hanya mahu memusatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk mencatur langkah mengukuhkan kedudukan politiknya dalam parti. 

Jika dilihat dari senarai pelantikan yang dibuat beliau, Ismail Sabri gagal memanfaatkan ‘kemenangan’ yang diraihnya untuk melonjak namanya dari bayangan Kerajaan gagal semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. 

Melantik semula nama seperti Adham Baba atau Radzi Jidin tidak membawa sebarang makna dalam perubahan yang signifikan yang mahu dilakukan oleh Ismail Sabri. 

Kalau begitu, beliau boleh sahaja melantik semula Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Kanan mengetuai mana-mana Kementerian. Sama sahaja. 

Ismail Sabri juga bekas anggota kabinet Kerajaan Gagal 

Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas kerajaan pimpinannya gagal menangani pandemik Covid-19 melalui perintah Darurat, vaksinasi yang perlahan sehingga kes baharu meningkat saban hari termasuk jumlah kematian meningkat serta penguatkuasaan SOP yang menekan rakyat sedang Menteri dan para VIP terlepas dari sebarang hukuman. 

Kegagalan kerajaan yang lepas bukan disebabkan oleh Muhyiddn Yassin seorang sahaja. Seluruh kabinet Muhyiddn Yassin yang kini menjadi sebahagian anggota kabinet Ismail Sabri juga perlu bertanggungjawab memikul kegagalan sebelum ini. 

Melantik menteri-menteri dan tmbalan-timbalan menteri ke jawatan mereka sebelum ini atau sekadar menukar portfolio mereka tidak menunjukkan Ismail Sabri sedang mengubah dan mahu memperbaik kegagalan kerajaan terdahulu. Beliau hanya mengulanginya semula.

Malang buat rakyat Malaysia yang terpaksa berdepan dengan siri kegagalan akibat daripada Kerajaan yang tidak pun mendapat mandat mereka. 

Rakyat tidak memilih mereka dalam PRU yang lepas, malah rakyat jelas menolak mereka dan memberi peluang kepada Pakatan Harapan menjadi kerajaan. 

Biarpun tidaklah sempurna, namun apabila sebuah kerajaan yang dipilih dari mandat yang sah dan sokongan yang tulen, pembentukan sesebuah Kerajaan dan pelantikan anggota kabinet tidak bergantung kepada soal menyambung nyawa politik dan menjamin kuasa. 

Sifirnya begitu. Yang menang dengan sokongan rakyat akan menganggap tuannya adalah rakyat dan kuasa yang diberikan oleh rakyat tidak boleh dibuat main dengan melantik pelawak sarkis menjadi menteri atau tmbalan menteri. 

Kita akan dipaksa membayar harga yang sangat mahal dalam PRU yang akan datang jika kita bersikap acuh tak acuh dengan melantik mereka yang sembarangan mengetuai mana-mana Kementerian. 

Tetapi, Kerajaan Perikatan Nasional atau apa sahaja nama Kerajaan pimpinan Ismail Sabri ini bukan dipilih dari mandat rakyat. Mereka merompaknya di tengah jalan. 

Menjadi Kerajaan melalui hasil yang salah, tidak akan mampu kekal walaupun dengan cara yang betul sekali pun. 

Bak kata bijaksana, matlamat tidak akan menghalalkan cara, walaupun matlamatnya itu baik dan begitu murni sekali pun.

Ismail Sabri mahu bergantung kepada KJ

Ismail Sabri kini akan hanya bergantung kepada dirinya sendiri dan reputasi Menteri Kesihatan yang baharu untuk menyelamatkan maruah dirinya dan kerajaan yang dipimpinnya. 

Rata-rata menyuarakan secara terbuka dengan pelantikan Ahli Parlimen Rembau sebagai Menteri Kesihatan. 

Ramai yang berpendapat Khairy Jamaludin dan pasukannya melakukan tugas yang agak berkesan semasa beliau mengetuai MOSTI dan menjadi Menteri Penyelaras Vaksin. 

Meletakan KJ ke Kementerian Kesihatan adalah satu-satunya keputusan terbaik Ismail Sabri dalam menamakan senarai anggota kabinetnya.

Namun Ismail Sabri tidak boleh hanya bergantung kepada KJ semata-mata. Jika hanya KJ dilihat berkemampuan, kegagalan kerajaan tidak boleh ditutup dengan prestasi seorang dua Menteri sahaja. 

Pandemik Covid-19 ini perlu ditangani secara keseluruhan merangkumi isu pendidikan, sosial, kebajikan, ekonomi termasuk soal pekerjaan, pertanian, alam sekitar dan juga perlancongan. 

Maka, kesemua Kementerian ini perlu diisi dengan mereka yang benar-benar mampu menguruskannya. 

Ismail Sabri mungkin mempunyai cita-cita membubarkan parlimen selepas beliau benar-benar pasti kedudukannya telah selamat dalam UMNO. 

Dan untuk memastikan semua itu berjaya, mahu tidak mahu beliau terpaksa melantik sesiapa sahaja termasuk dari Bersatu atau dari kumpulan yang menentang Presiden partinya sendiri walaupun terbukti mereka ini telah gagal dengan teruk, tidak layak dan tidak cekap. 

Ismail Sabri telah melepaskan peluang untuk melakukan perubahan dan memperlihatkan perbezaan di antara Kerajaan yang beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kerajaan yang beliau sendiri menjadi Perdana Menteri. Sayang sekali!