Berita

Pelantikan dua senator wanita pengiktirafan sumbangan wanita

Pelantikan dua orang wanita sebagai Senator mewakili negeri Pulau Pinang adalah sangat bermakna.

Lim Hui Ying, salah seorang daripadanya berkata,  perlantikan itu menyatakan dengan jelas pendirian kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) yang mengiktirafkan kedudukan dan sumbangan kaum wanita dalam pembinaan bangsa dan negara. 

Jelasnya, beliau mengulangi komitmennya untuk sentiasa mempertahankan hak dan mendukung kebajikan negeri serta rakyat Pulau Pinang di Dewan Negara, khususnya ketika negara dan negeri berhadapan ancaman pandemik Covid-19. 

“Saya menyeru agar Kerajaan Persekutuan khasnya Kementerian Kesihatan Malaysia akan mempercepatkan kadar vaksinasi di negeri Pulau Pinang, dan menyalurkan sumber yang lebih besar bagi hospital serta klinik kesihatan di negeri kami bagi membolehkan pelaksanaan 3 T – testing, tracing, treatment – secara lebih berkesan. 

“Saya juga akan meneruskan usaha memperjuangkan hak wanita dan kesaksamaan gender, kepentingan ekonomi negeri Pulau Pinang, dan meneruskan kerja-kerja reformasi institusi sama ada di peringkat Parlimen mahupun di negeri Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Hui Ying turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di atas cadangan dan kelulusan Usul Pelantikan Ahli Dewan Negara yang telah melantik beliau sebagai Ahli Dewan Negara yang mewakili negeri Pulau Pinang. 

Menurutnya, ini adalah pelantikan kali kedua baginya untuk menggalas tanggungjawab dan kewajipan mewakili negeri Pulau Pinang di Dewan Negara, selepas pelantikan yang pertama pada tahun 2018. 

Dalam masa sama, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Fadhlina Siddiq dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut dilantik sebagai Ahli Dewan Negara untuk negeri Pulau Pinang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). 

“Saya akan terus berusaha bersama Saudari Fadhlina dalam mengetengahkan isu wanita serta hal ehwal negeri Pulau Pinang di Dewan Negara,” katanya. – Roketkini.