Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Henti susahkan rakyat, segera perbaiki Helpdesk Mysejahtera

Oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, banyak aduan diterima daripada penduduk berkenaan ketiadaan sijil digital dalam aplikasi My Sejahtera, sungguhpun mereka telah menerima vaksinasi lengkap.

Tambahnya, pengadu-pengadu memaklumkan walaupun telah menghubungi Helpdesk MySejahtera berkenaan masalah itu, namun tiada sebarang maklum balas diterima.

Antara komen di Twitter oleh mereka yang mengalami masalah hubungi Helpdesk MySejahtera

“Tidak munasabah untuk MySejahtera mengalami sebarang ketidakcekapan ketika semua pergerakan bergantung kepada status vaksinasi.

“Ramai yang tidak dapat meneruskan aktiviti harian akibat kegagalan MySejahtera mengemas kini status vaksinasi, ditambah pula dengan Helpdesk yang tidak dapat dihubungi.” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah Yeoh menggesa Menteri Kesihatan untuk memberi perhatian segera dan masalah MySejahtera ini diberi keutamaan sebelum memperkenalkan sebarang fungsi atau ciri-ciri khas baharu.

“Kegagalan mengemaskini status vaksin sesungguhnya akan menambahkan lagi kesengsaraan, kesulitan dan tekanan yang dihadapi oleh rakyat ketika ini,” katanya.

Sebelum ini, kualiti aplikasi MySejahtera telah banyak kali dipersoal apabila ramai yang membuat aduan tentang pelbagai isu berkaitan, walaupun RM70 juta dana digunakan untuk integrasi dan membangunkan sistemnya. – Roketkini.com