Berita, Rencana

ketiadaan usul undi percaya gugat perjanjian kerajaan, pembangkang

Kenyataan media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 8 September 2021

Kemungkinan untuk perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi di antara pihak kerajaan dan pembangkang kini tergugat dan berhadapan dengan nasib yang tidak menentu akibat ketiadaan usul undi percaya dalam aturan urusan mesyuarat sidang Parlimen minggu hadapan

Kemungkinan untuk mencapai perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi di antara pihak kerajaan dan pembangkang kini tergugat dan berhadapan dengan nasib yang tidak menentu akibat ketiadaan usul undi percaya dalam aturan urusan mesyuarat sidang Parlimen minggu hadapan.

Sekiranya Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong telah berubah fikiran dan bersetuju untuk tidak perlu adanya undi percaya di Parlimen seperti yang didakwa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen dan Undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengapakah perkara ini tidak dinyatakan dari awal lagi? Sebaliknya apa yang kita dapat adalah kenyataan luar biasa daripada Peguam Negara, Idris Harun, Sabtu lepas dengan hujah yang tidak masuk akal yang cuba mengatakan undi percaya ini merendah-rendahkan kuasa Yang di Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan Perdana Menteri oleh Yang di Pertuan Agong dan hal undi percaya di Parlimen adalah dua perkara yang berbeza sama sekali walaupun berkaitan antara satu sama lain.

Maka tidak peliklah tidak ada seorang pun pakar undang-undang atau peguam yang telah menyokong hujah Idris ini, sebaliknya, ramai peguam dan badan bukan kerajaan yang membantah pendapat Peguam Negara ini.

Walaupun PAS telah mengambil kedudukan berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk undi percaya di Parlimen, ini adalah pendirian politik PAS, bukannya peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan sebenar isu ini dirumuskan secara baik oleh mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abd Backer, yang mengatakan Yang di Pertuan Agong boleh bergantung kepada akuan bersumpah dan temu ramah bersama Ahli-ahli Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawab Baginda mengikut peruntukan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang Perdana Menteri, manakala Perkara 43(3) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa Perdana Menteri perlulah meletakkan jawatannya sekiranya beliau tidak mempunyai sokongan majoriti adalah perkara yang perlu ditentukan oleh Parlimen.

Hanya ada satu sebab mengapa Ismail Sabri tidak mahu mengadakan undi percaya di Parlimen pada hari Selasa depan untuk menentukan keabsahannya seperti yang dititahkan oleh Baginda Yang di Pertuan Agong pada 17 Ogos semasa pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti politik yang kemudiannya ditegaskan lagi dalam kenyataan media Istana Negara pada 18 Ogos — Ismail bimbang beliau tidak mendapat sokongan 114 Ahli-ahli Parlimen dalam sidang Parlimen akan datang walaupun mereka sebelum ini telah menyatakan sokongan mereka kepada Ismail Sabri dalam akuan bersumpah mereka dan mengesahkan sokongan mereka untuk Ismail menjadi Perdana Menteri baharu selepas sesi temu ramah mereka bersama Yang di Pertuan Agong pada 20 Ogos 2021.

Ismail boleh mengelakkan undi percaya, namun bolehkah beliau mengelakkan undian di Parlimen yang akan menjadi cerminan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri — sama ada pada 23 September semasa usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, atau 7 Oktober semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12, Belanjawan 2022, atau apa-apa Rang Undang-undang lain?

Bolehkah kita akhiri sebarang ribut dan ketidaktentuan politik di Parlimen dan temukan satu perpaduan baharu dengan tujuan untuk memastikan kita menang perang melawan wabak Covid-19 untuk menetapkan semula negara kita di landasan yang betul dengan reformasi institusi dan parlimen untuk memastikan terdapat pemulihan ekonomi dan negara dalam 12 ke 18 bulan yang akan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15?

Junaidi mengatakan yang tawaran perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi yang pertama kali ditawarkan oleh mantan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, masih terbuka untuk dibincangkan.

Tidak ada sebarang ragu-ragu yang kemungkinan mencipta sejarah politik dengan perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi di antara pihak kerajaan dan pembangkang supaya semua orang dapat menumpukan usaha kepada memenangi perang melawan Covid-19 kini tergugat dan kita hanya mampu menunggu dan lihat sama ada perjanjian ini masih dapat diselamatkan sebelum Parlimen bersidang Isnin depan. — Roketkini.com