Berita

Kini masa selesaikan masalah rakyat – DAPSY

Setiap tumpuan dan tenaga semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) seharusnya ditujukan ke arah usaha menyelesaikan permasalahan rakyat akar umbi. 

Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee berkata, tidak wajar sama sekali untuk membazir tenaga mengungkit isu-isu kerjasama antara parti yang sudah sekian lama diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

“(Ini) Di kala rakyat sedang bergelut tenggelam timbul dengan masalah kelangsungan hidup, ekonomi yang menekan dan krisis kesihatan yang terus mengancam…” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan PKR Wilayah Persekutuan sebelum ini yang dilaporkan menggesa supaya logo dan bendera parti mereka digunakan calon bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Dalam kenyataan sama, Howard turut memetik kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu webinar anjuran UPKO baru-baru ini yang menyentuh perihal penggunaan logo PH. 

Beliau antaranya memetik kenyataan Anwar berbunyi: “Logo pun, secara prinsip kita sudah setuju. Dulu kita setuju terima Keadilan kerana Pendaftar tidak perakui pengesahan PH. Sekarang PH sudah diputuskan.”

Jelas Howard, terang lagi bersuluh bahawasanya Anwar, yang merupakan suara utama mewakili PKR dengan jelas menyatakan keputusan PH setakat ini. 

Malah, tambahnya, rakan-rakan komponen juga telah bersetuju untuk memberi masa kepada Anwar menerangkan kepada akar umbi PKR berkenaan hala tuju tersebut. 

Selaku anggota Majlis Presiden dan juga wakil anak muda akar umbi, Howard, mengakui bukanlah semua keputusan yang dicapai boleh beliau setuju sepenuhnya. 

Tetapi, tambahnya, berbekalkan semangat tanggungjawab kolektif serta daya upaya untuk menurut arahan Pengerusi PH untuk bekerjasama sebagai satu pasukan, semua mesti bertolak ansur dan menerima serta mempertahan keputusan jemaah dan terus mara ke depan bersama.

“DAPSY mengambil maklum pandangan PKR Wilayah Persekutuan serta sayap-sayapnya, namun masih ada ruang dan waktu untuk saya seru supaya dengar, teliti dan akur dengan kenyataan Anwar dan akur dengan keputusan PH. 

“Ini secara jelasnya suatu keputusan yang turut terpakai bagi PKR Wilayah Persekutuan dan sayap-sayapnya,” katanya. 

Menurutnya, DAPSY juga ingin menasihati supaya butir-butir keputusan seperti yang telah dimaklumkan kekal dibincangkan secara dalaman demi menjunjung kerukunan antara komponen yang telah terbina sekian lama. 

“Semangat kerjasama yang ada ini masih perlu terus diangkat, dan bukannya sengaja memberi laluan tekan-menekan secara konfrontasi yang akhirnya meniup kita ke arah kemudaratan,” katanya. – Roketkini.com