Berita

PH Johor kecewa penolakan penyertaan ADUN bipartisan dalam JKTD

Pakatan Harapan (PH) Johor meyatakan rasa kekecewaan dengan reaksi negatif Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Hasni Mohamad terhadap desakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD).

Dalam satu kenyataan, PH Johor berkata, respon yang diberikan Hasni adalah amat mengecewakan.


Menurut kenyataan itu, alasan yang digunakan oleh Menteri Besar terhadap penolakan tersebut adalah atas dakwaan JKTD sebagai platform pelaksana semata-mata dan bukan bersifat legislatif.

“Menurut logik MB, tiada keperluan bagi ADUN-ADUN pembangkang menyertai JKTD. Ironinya, ADUN-ADUN di pihak kerajaan sendiri pun telah menyertai mesyuarat JKTD ini bagi membawa isu-isu rakyat yang mereka wakili. Justeru, mengapa tidak ADUN-ADUN Pembangkang?” soal kenyataan itu semalam.

Kenyataan itu menambah, Hasni harus sedar bahawa selain bertindak sebagai seorang penggubal dasar di Dewan Negeri, ADUN turut merupakan seorang wakil rakyat.

Jelasnya, mereka ada tanggungjawab untuk membawa suara dan isu rakyat di kawasan yang mereka wakili ke jawatankuasa di peringkat daerah yang bermesyuarat setiap bulan, tidak seperti Dewan Negeri yang hanya bersidang empat kali setahun.

“Oleh itu, demi memastikan seseorang ADUN dapat menunaikan tugasan dengan berkesan, adalah imperatif untuk melibatkan ADUN-ADUN dalam mesyuarat JKTD,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan itu memberitahu, PH Johor menyambut baik hasrat Hasni untuk menyediakan dokumen berkaitan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat dan digazetkan menerusi Dewan Negeri. – Roketkini.com