Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kerajaan perlu tampil dengan alternatif lain selain aplikasi MySejahtera di telefon pintar

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dalam satu kenyataan hari ini berkata, SOP terkini dimana orang ramai hanya dibenarkan memasuki pasaraya dengan sistem pengesahan status risiko Covid-19 di MySejahtera adalah jelas meninggalkan golongan rentan kita seperti warga emas dan golongan B40 yang tidak mahir teknologi atau tidak mempunyai kemampuan untuk memiliki telefon pintar.

Beliau menyatakan perkara ini selepas menerima pelbagai maklumbalas daripada masyarakat Sandakan yang ramai dihalang daripada memasuki pasaraya meskipun sudah lengkap dua dos. Kebanyakan mereka adalah warga emas dan berpendapatan rendah yang masih menggunakan telefon lama yang tidak mempunyai fungsi internet.

“Walaupun saya tidak mempunyai masalah untuk menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai alat utama kita untuk membantu mengesan kontak atau memaparkan status risiko Covid-19 dalam peperangan kita melawan wabak, tetapi pada masa yang sama, kita mesti menunjukkan rasa empati dan belas kasihan terhadap mereka yang tidak memiliki telefon pintar untuk melakukan daftar masuk atau kemaskini status yang diperlukan. Setiap rakyat Malaysia penting dalam krisis nasional ini, dan kita tidak boleh dilihat “berdarah dingin” dan membuat golongan masyarakat kita yang rentan merasa tidak diingini,” kata Vivian.

“Saya rasa adalah sangat tidak adil untuk memberitahu orang ramai bahawa mereka tidak dapat pergi ke mana-mana sekarang hanya kerana mereka tidak mempunyai telefon pintar yang boleh memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera. Tidak mudah bagi seseorang yang berumur 70 atau 80 tahun untuk beralih dari telefon lama yang telah lama dipakai ke telefon pintar baru, dan pada masa yang sama, tidak mungkin dan tidak adil untuk memaksa keluarga kumpulan berpendapatan rendah kita untuk memiliki telefon pintar untuk setiap orang dalam keluarga hanya untuk penggunaan MySejahtera dimana beban kewangan juga akan ditanggung terlalu banyak oleh mereka,” tambah Vivian.

“Oleh itu,  perancangan dan alternatif lain perlu diberikan bagi membolehkan kelompok masyarakat ini hidup dalam keadaan baru walaupun tanpa memiliki telefon pintar. Mungkin dalam bentuk rantai kunci seperti token digital yang dapat dibawa ke dalam poket dan memungkinkan seseorang mengimbas atau mendaftar masuk sebelum memasuki mana-mana kedai. Dengan kemajuan teknologi semasa, saya yakin kita dapat mengeluarkan alternatif untuk kumpulan ini.

“Krisis ini telah mempengaruhi pendapatan dan kehidupan semua rakyat Malaysia dalam skala yang belum pernah terjadi sebelumnya. Kerajaan harus memastikan bahawa semua sokongan dan bantuan diberikan kepada seluruh masyarakat yang dimaksudkan melalui pelaksanaan yang efektif dan telus. Tidak ada rakyat Malaysia yang harus ditinggalkan dalam perjuangan untuk bertahan dalam melawan pandemik global.”  Tambah Vivian.