Berita

MoU Kerajaan-PH: Simbolik kejayaan PH dan rakyat

Oleh Wartawan Roketkini

Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) di Bangunan Parlimen hari ini melakar satu sejarah baharu dalam politik tanah air. 

MoU itu merupakan satu kejayaan PH dan rakyat. 

Menerusi pemeteraian itu, kerajaan kini bergantung kepada sokongan pihak pembangkang dalam meluluskan belanjawan serta lain-lain rang undang-undang.

Dalam masa sama, MoU Kerajaan-PH itu  turut membuka jalan kepada reformasi-reformasi institusi utama bagi Malaysia, yang selama ini diperjuangkan dan dijuarai oleh PH. 

Reformasi-reformasi itu merangkumi:

(a) Undang-undang Anti-Lompat Parti yang akan mengelakkan peristiwa seperti ‘Langkah Sheraton’ daripada berulang. 

(b) Komposisi Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang lebih seimbang. 

(c) Memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepatkan tindakan untuk pelaksanaan pendaftaran umur minimum pengundi 18 tahun. 

Tambahan pula, persetujuan tidak mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022, turut merupakan kejayaan kepada rakyat. 

Dengan penetapan kerangka masa itu,  semua pihak dapat memberi fokus kepada usaha melawan Covid-19 dan membaik pulih ekonomi. – Roketkini.com