Berita

Gelembung pelancongan: Wajar buat ujian saringan 48 jam

Oleh B. Suffian

Gambar: FMT

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berpendapat, mereka yang ingin bercuti ke Pulau Langkawi perlu sekurang-kurangnya melakukan ujian saringan Covid-19 kendiri 48 jam sebelum berangkat ke tempat tersebut.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu wujud kerana terdapat risiko penularan memandangkan kes positif di negara ini masih di jangkauan puluhan ribu. 

“Dengan wujudnya pelbagai varian baharu, tidak mustahil untuk mereka yang sudah lengkap dua dos vaksinasi ini dijangkiti Covid-19. 

“…dan situasi akan jadi lebih teruk sekiranya mereka sendiri tidak tahu yang mereka sudah dijangkiti dan menjadi ‘superspreader’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kerajaan sebelum ini mengumumkan SOP sempena Gelembung Pelancongan Projek Rintis Pulau Langkawi bermula 16 September ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, SOP berkenaan terhad kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksinasi.

Lip Eng mengucapkan tahniah pihak kementerian di atas inisiatif mewujudkan gelembung tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah yang baik untuk menghidupkan semula industri pelancongan negara. 

Walau bagaimanapun, jelasnya, kenyataan berkenaan untuk tidak mewajibkan ujian saringan Covid-19 bagi mereka yang bakal bercuti ke tempat tersebut menimbulkan kerisauan kepada pelbagai pihak. 

“Perlu juga untuk kita diingatkan bahawa individu di bawah umur 18 tahun juga dibenarkan untuk ikut bersama ibu bapa yang sudah lengkap dos vaksin, dan rata-rata mereka ini belum divaksinasikan. 

“Hal ini juga menjadi kebimbangan yang amat besar sekiranya tiada inisiatif untuk ujian saringan dijalankan terlebih dahulu,0 katanya. – Roketkini.com