Berita, Isu Semasa

Transformasi Undang-undang Anti-Lompat Parti, elak ulang Langkah Sheraton

Oleh Ghafar NS

Pelbagai persepsi yang ditonjolkan umum selepas satu Memorandum Persefahaman: Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.

Antara transformasi menarik yang dinyatakan dalam salah satu klausa memorandum ini dan dipersetujui bersama adalah berkait dengan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti di bawah Transformasi Pentadbiran.

Jika Kerajaan Persekutuan mengambil serius akan memorandum persefahaman ini dan dilaksanakan dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Parlimen (tahun 2022), seperti yang dinyatakan, ini akan menjadi satu kemenangan besar buat rakyat dan PH.

Memorandum ini juga menekankan, Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kita sedia maklum bahawa Langkah Sheraton berlaku kerana tiadanya satu undang-undang yang jelas melarang ahli-ahli Parlimen bertukar arah demi kepentingan masing-masing.

Maka, dengan adanya klausa ini dalam Memorandum Persefahaman tersebut, ia dapat mengikat kaki-kaki wakil rakyat yang diundi agar berpijak di bumi nyata dan tidak lagi mencetuskan kekacauan dengan meruntuhkan sistem pentadbiran, sekali gus membuat rakyat hilang kepercayaan kepada sistem demokrasi dan pilihan raya di Malaysia.

Sebelum ini, telah ramai yang bersuara agar satu undang-undang sebegini diwujudkan agar sesebuah kerajaan yang dibina kukuh, dan urus tadbir negara dapat berjalan lancar.

Kewujudan undang-undang yang menghalang wakil-wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada lompat ke sana sini, amat penting dalam menunjukkan integriti yang baik dalam diri wakil rakyat, seterusnya mencorak kualiti generasi masa hadapan yang lebih baik lagi. – Roketkini.com