Uncategorized

MoU Kerajaan-PH bukti negara bersedia hadapi dinamik politik baharu – Howard

Oleh Ghafar NS

Tahun ini, seperti tahun lepas rakyat Malaysia menyambut hari bermakna —Hari Malaysia dalam pandemik, dengan kadar jangkitan dan kematian di tahap membimbangkan, kini.

Ketua Pemuda HARAPAN, Howard Lee Chuan How dalam ucapan Hari Malaysianya pada 16 September 2021, semalam menyatakan rasa senangnya melihat ramai rakyat Malaysia bersama bersolidariti dan menyumbang dalam peperangan melawan Covid-19.

“Setahun lebih kita lalui pandemik ini dan kita dapat melihat rakyat Malaysia bersama memecah tembok pengasingan, baik dari sudut bangsa, kepercayaan atau agama.

“Kita dapat mengenepikan kesangsian dan kecurigaan antara kita, bersama cuba memahami dan sama-sama menempuhi cabaran dalam pandemik ini,” katanya.

Sungguhpun Covid-19 adalah melapetaka buruk buat semua, menurut Howard yang juga merupakan Ketua DAPSY Kebangsaan, rakyat Malaysia semakin mendekat bagi merealisasikan sifat dan identiti bangsa Malaysia.

“Walaupun agak jauh daripada sempurna, situasi politik negara hari ini turut menunjukkan perkembangan positif dan menggalakkan dalam bergerak ke arah penyatuan bangsa Malaysia.

“Ini boleh dilihat menerusi satu Memorandum Persefahaman: Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bagi mengenepikan perbezaan politik dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai satu keutamaan,” tambah Adun Pasir Pinji itu lagi.

Menurutnya, MoU tersebut dapat membantu mencapai kestabilan politik dan fokus dapat diberikan kepada hal ehwal rakyat, ekonomi dan kesihatan dengan mengambil kira pandangan dan cadangan PH.

“Setelah krisis demi krisis politik yang kita tempuhi, kerjasama ini menunjukkan dinamik politik baharu buat negara kita,” katanya lagi. – Roketkini.com