Berita

Bekas IGP mohon maaf pada Kit Siang

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar hari ini memohon maaf secara rasmi kepada Lim Kit Siang atas kenyataannya terhadap veteran DAP itu pada satu forum yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 6 September 2018.

Permohonan maaf itu dibaca di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan pesuruhjaya kehakiman Quay Chew Soon hari ini. 

“Saya dengan ini merakamkan permohonan maaf tanpa syarat saya berkenaan kenyataan yang telah saya buat berkenaan Plaintif di Konvensyen Karamah Bangsa di UiTM pada 6 September 2018. Saya menarik balik kenyataan saya secara keseluruhannya dan tanpa syarat. 

“Saya mengesahkan bahawa penahanan Plaintif pada tahun 1969 bukan atas sebab bahawa beliau telah meminta Malaysia dibahagikan atas dasar perkauman dan seterusnya saya juga mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mencadangkan sedemikian,” kata Mohammed Hanif seperti dilaporkan media. 

Kit Siang, yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, dalam satu kenyataan menerima permohonan maaf Mohammed Hanif dan menarik balik kenyataan dibuat beliau dalam blognya pada 7 September 2018 dan juga satu ciapan berkaitan sebagai sebahagian daripada penyelesaian. 

Sinar Harian turut memohon maaf atas laporannya bertarikh 6 dan 11 September 2018 untuk dua artikel memetik Mohammed Hanif, dan akan menerbitkan permohonan maaf pada 25 September ini. 

Kit Sing memfailkan saman pada 17 Oktober 2018, mendakwa Mohammed Hanif selaku defendan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap pada Konvensyen Karamah Bangsa di UiTM, Shah Alam pada 6 Sept 2018 yang telah diterbitkan dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian. – Roketkini.com