Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Pulau Pinang perlu tambahan hospital lapangan, katil ICU segera – Guan Eng

Kenyataan media Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada 19 September 2021

Pulau Pinang masih merupakan kawasan panas COVID-19 yang paling teruk terjejas, dengan jumlah kematian tertinggi dan jumlah kes per kapita kedua tertinggi di negara ini, berdasarkan laman web COVIDNOW pada 18 September 2021. Pulau Pinang juga mencatatkan penggunaan ventilator dan katil ICU kedua tertinggi, masing-masing pada 73.3% dan 96.6%. Ini telah menyumbang kepada angka kematian yang tinggi.

Kadar positiviti 7 hari kekal tinggi pada 19%, hampir 4 kali melebihi 5% yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan ujian tidak mencukupi dan perlunya saringan ujian massa untuk langkah pencegahan yang lebih berkesan terhadap kluster COVID-19. Sekurang-kurangnya kadar jangkitan turun di bawah 1.0, menunjukkan bahawa penyebaran COVID-19 semakin perlahan di Pulau Pinang.

Penyelaras COVID-19 Pulau Pinang, Steven Sim dan Ketua Pasukan Bertindak Kecemasan COVID-19 Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh juga telah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan jumlah dan menambah baik kualiti perkhidmatan di Pusat Kuarantin (PKRC), Pusat Penilaian Covid (CAC), katil ICU dan ventilator dengan bantuan kedua-dua Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan pegawai Kementerian Kesihatan Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dilantik sebagai koordinator hal ehwal pengurusan Covid-19 antara kerajaan negeri Pulau Pinang dan kerajaan Persekutuan.

Warga Pulau Pinang berterima kasih di atas penyiapan hospital lapangan dengan cepat yang terdiri daripada 96 katil biasa dan 4 katil ICU di tempat letak kereta Hospital Besar Pulau Pinang oleh Angkatan Tentera. Selain itu, 300 pesakit bukan COVID-19 daripada hospital awam juga dipindahkan ke hospital swasta untuk memberi lebih banyak ruang untuk pesakit COVID-19 di hospital awam.

Namun, dengan penggunaan tempat katil ICU pada 96,6%, Khairy perlu mempertimbangkan untuk mendirikan lebih banyak hospital lapangan dengan lebih banyak katil ICU di Seberang Jaya, Nibong Tebal dan Balik Pulau. Khairy boleh menggunakan dana tambahan RM5 bilion yang diperuntukkan kepada Kementeriannya sebagai sebahagian daripada suntikan dana RM45 bilion untuk memerangi COVID-19 dan kemelesetan ekonomi dalam Memorandum Persefahaman yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan PH pada 13 September 2021.

Tambahan RM5 bilion itu dapat membantu bukan sahaja melakukan saringan massa di seluruh negara tetapi juga meningkatkan tenaga kerja dengan memberi jawatan tetap kepada doktor kontrak dan meningkatkan perkhidmatan sokongan kesihatan seperti katil ICU. Ini akan membantu meningkatkan kadar survival pesakit kategori 5 COVID-19 di hospital awam kepada kadar survival yang lebih tinggi seperti di hospital swasta.