Berita, Isu Semasa

DAP kecam kedegilan kerajaan teruskan rayuan isu kewarganegaraan anak-anak wanita Malaysia

Oleh Ghafar NS

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan bahawa Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) mengecam kedegilan kerajaan yang mahu meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kewarganegaraan pada anak-anak wanita rakyat Malaysia secara setara dengan lelaki.

Menurutnya, ini merupakan satu diskriminasi gender dan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan larangan memberi kewarganegaraan automatik kepada anak-anak wanita Malaysia yang lahir di luar negara adalah salah, itu tepat.

“Tidak ada sebab mengapa anak-anak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara perlu didiskriminasi dan tidak diberi hak kewarganegaraan di negara ini.

“Ini jelas bertentangan dengan hak asasi manusia seperti digariskan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan media pada 20 September 2021.

Tambahnya lagi, konsep “Keluarga Malaysia” yang diperkenalkan kerajaan baharu Perdana Menteri (PM), Ismail Sabri akan menjadi satu bahan ketawa apabila anak-anak kepada bapa rakyat Malaysia yang lahir di luar negara boleh mendapat kewarganegaraan secara automatik, tetapi tidak bagi ibu warganegara Malaysia yang melahirkan.

“Ismail Sabri perlu menyatakan pendiriannya dengan jelas dan tegas kepada Peguam Negara, sekiranya tetap enggan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, bagi membuktikan PM hari ini tidak sama dengan yang dahulu,” tegas Ahli Parlimen Bagan. – Roketkini.com