Berita

DAP, PH mahu lihat MoU kerajaan-PH berjaya

DAP dan PH mahu melihat kejayaan Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani dengan kerajaan kerana ia berpotensi membawa landskap politik baharu untuk Malaysia.

Bagaimanapun, kata veteran DAP, Lim Kit Siang, kejayaan tersebut hanya boleh dicapai sekiranya kedua-dua belah pihak dapat bekerjasama untuk menjayakannya

“Usaha sebelah pihak sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kejayaan memorandum persefahaman ini,” ujarnya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan, parti dan para pemimpin PH akan berusaha memenuhi komitmen mereka untuk menjayakan MoU itu dan sebarang kegagalan tidak boleh disebabkan oleh PH.

“Sekiranya MOU CSR ini gagal, ia tidak boleh gagal kerana kegagalan parti-parti dan para pemimpin PH untuk memenuhi komitmen mereka, sebaliknya kerana kegagalan Ismail Sabri untuk membentuk suatu konsensus untuk menjayakan MOU CSR ini,” ujarnya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjelaskan PH bersetuju menandatangani perjanjian persefahaman itu bukan kerana mahu mengelakkan Ismail Sabri daripada menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah.

“(Kita menandatangani MoU) untuk memimpin Malaysia dalam melaksanakan gencatan dan moratorium politik supaya kita dapat tumpukan semua usaha kita kepada melawan Covid-19 dan menetapkan semula negara kita ke arah menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan melaksanakan reformasi parlimen dan institusi negara,” katanya.

Justeru itu, menjadi tugas pihak yang terlibat untuk menjelaskan mengapa MoU tersebut dipersetujui kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau latar belakang politik. — Roketkini.com