Uncategorized

DAP Sabah cabar Bung buktikan tuduhannya berkenaan isu bajet Lebuh Raya Pan Borneo

oleh Ghafar NS

Tiga Ahli Parlimen DAP Sabah cabar Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengulangi kenyataan beliau di luar Dewan Rakyat yang menuduh Pakatan Harapan (PH) memotong bajet pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, lalu menyebabkan pembinaannya lewat.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual dan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menyatakan ini jelas satu pembohongan dan fitnah jahat, lebih-lebih lagi apabila Bung menyatakan sesiapa yang meminta bukti atas tuduhannya itu ialah orang bodoh.

“Kami amat kesal dengan tingkah laku beliau.

“Lazimnya hujahan ahli-ahli parlimen perlu disokong dengan fakta dan bukti untuk mencerminkan tahap kewibawaan wakil rakyat, kerana tanpa kedua-duanya perbahasan Dewan Rakyat tiada beza dengan cybertrooper yang selalunya melemparkan kenyataan yang bukan-bukan,” kata mereka menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin

Untuk makluman, projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo terbahagi kepada 3 fasa. Fasa Pertama merangkumi 706km dan 35 pakej kerja, dengan anggaran nilai RM15.272 billion.

Fasa 1 Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bermula pada 11 April, 2016 dengan cara PDP (Project Delivery Partner). Melalui perjanjian PDP, cara pemberian dana projek adalah melalui perbelanjaan pembangunan dari kerajaan dan terbitan sukuk.

Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri Sabah, iaitu Kerajaan Warisan telah membuat cadangan kepada Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan bahawa, cara PDP dan perjanjiannya ditamatkan, pada September 2019.

Ini telah menyebabkan pelaksaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah hanya bergantung kepada perbelanjaan pembangunan kerajaan dan dilaksanakan oleh JKR Sabah.

Berikutan perubahan tersebut, daripada 20 pakej kerja yang belum dianugerahkan, hanya 1 pakej kerja yang boleh diluluskan pada tahun 2021.

JKR Sabah menjangka cuma 5 ke 6 pakej kerja dapat dilaksanakan di bawah RMK12 (2021 – 2025).

Secara keseluruhan, kesemua 35 pakej kerja hanya dijangka siap pada tahun 2040.

Kesemua inilah (point 4 ke 8) yang dikatakan oleh Bung Moktar di DUN Sabah.

Menurut kenyataan Ahli-ahli Parlimen DAP Sabah, ini bermaksud, Bung sedar bukan PH yang memotong bajet pembinaan malah Kerajaan Sabah pada ketika itu yang meminta projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo diambil alih oleh JKR Sabah dan menamatkan cara PDP.

Ini menunjukkan betapa PH menghormati autonomi Sabah, apabila apa yang diminta oleh kerajaan Sabah disokong.

Apa motif beliau untuk menuduh PH di Parlimen?

Sebagai perbandingan dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, pada tahun 2019, cuma 12% bahagian Sabah telah siap, sedangkan 38% bahagian Sarawak telah siap.

Sehingga Mac tahun ini, hanya 15.4% Fasa 1 siap, walaupun projek-projek dianugerah 5 tahun yang lalu.

Ini jelas bukan disebabkan oleh Pakatan Harapan, sedangkan projek ini bermula sejak zaman Barisan Nasional. Ini juga jelas bukan disebabkan pemotongan bajet yang dituduh oleh Bung.

“Selaku Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Bung Moktar harus mencari punca sebenar kenapa pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah sangat lewat berbanding dengan Sarawak.

“Menabur fitnah dan menunding jari sebarangan dengan motif cari kambing hitam bukan cara penyeselaiannya,” tambah kenyataan itu lagi.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee

Berkaitan isu ini, ketika PH menjadi kerajaan, PH hanya mansuhkan satu projek pembangunan yang bermula sejak zaman Barisan Nasional di Sabah, iaitu Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP).

88% daripada jumlah kos sebanyak RM4.06 bilion telah dibayar untuk projek tersebut tetapi tidak ada saluran paip yang telah siap dengan hanya 11.4% pembukaan tanah selesai.

Pada ketika itu, PH gigih menuntut pengembalian pampasan berbillion-billion yang sudah dibayar kepada kontraktor China, dan sebarang pampasan yang dituntut balik akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur di Sabah, seperti niat Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika itu.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengistiharkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM4.66 bilion untuk Sabah dan RM4.47 bilion bagi Sarawak untuk tujuan pembangunan.

Beliau berkata peruntukan itu sedang disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021 sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.

Peruntukan ini jauh lebih rendah berbanding dengan peruntukan diperuntukkan kepada Sabah semasa Lim Guan Eng menjalankan amanah Menteri Kewangan.

Pada tahun 2020, Sabah telah diperuntukkan rekod sejarah RM5.2 billion untuk pembangunan, di mana ia tertinggi di antara semua negeri. Apa yang Ismail Sabri berikan kepada Sabah pada tahun 2021, kurang RM600 juta dari bajet tahun 2020!

“Kalau betul-betul Bung Moktar berani mempertahankan Sabah, bukan sahaja beliau harus minta dana pembangunan yang lebih daripada PM, malah beliau harus mengkritik Perdana Menteri kerana pemotongan dana pembangunan untuk Sabah!” Tegas mereka dalam kenyataan tersebut. – Roketkini.com