Berita

DAP terus bantu rakyat yang berdepan musibah, kesukaran

Oleh Roketkini

DAP sebagai sebuah parti politik yang prihatin dengan nasib rakyat, sentiasa komited dalam memastikan golongan yang memerlukan termasuk mereka yang berdepan musibah mendapat perhatian sewajarnya. 

Menerusi gerak kerja wakil rakyat dan jentera parti, DAP proaktif menyantuni semua orang tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. 

Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai antaranya, telah menziarahi keluarga mangsa kebakaran tempat tinggal semalam dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan kejadian tersebut. 

Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras telah melawat pengusaha kantin sekolah, Junaidah Husin yang boleh diibaratkan sebagai ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. 

Ini kerana dalam berdepan kesukaran akibat penutupan sekolah sepanjang tempoh pandemik, Junaidah, 60, dan 18 ahli keluarganya turut diuji dengan kebakaran rumahnya. 

Rumah mereka telah terbakar sepenuhnya dan semua barang peribadi telah dijilat api. 

Sebagai usaha membantu keluarga tersebut, Kok Wai telah memohon bantuan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar mereka diperuntukan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR). 

Dalam masa sama, keluarga tersebut turut diberikan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM2,000, bakul makanan. pelitup muka dan pembersih tangan. 

Kok Wai juga mengambil inisiatif untuk memohonkan keluarga tersebut bantuan dari pihak Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM) untuk bantuan kecemasan. 

Sementara itu, pihak Rukun Tetangga Taman Midah turut tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut. 

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bersama isterinya, Betty Chew pula ini telah menyerahkan 125 bakul makanan kepada ahli Persatuan Pemandu Kereta Sewa Dan Teksi Penang Sentral. 

Kesemua bakul makanan itu telah disumbangkan oleh Pejabat Parlimen Bagan dan Kasih Food Bank.

Sesi bantuan ini merupakan yang ketiga telah dianjurkan. 

Guan Eng berkata, mata pencarian pemandu teksi di Pulau Pinang yang sangat bergantung kepada industri pelancongan masih terjejas teruk tanpa bantuan berkala daripada Kerajaan Persekutuan. 

“Bantuan kewangan ‘one-off’ tak mampu menangani kemelesetan ekonomi masa kini khususnya sektor pelancongan,” katanya. – Roketkini.com