Berita

Menang lawan Covid-19: DAP sedia beri kerjasama penuh

DAP akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan Malaysia menang dalam perang melawan wabak Covid-19, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Pun begitu, katanya, DAP akan tetap memberikan kritikan jika ada sebarang kesalahan.

“DAP adalah sebuah parti anak Malaysia yang patriotik yang sentiasa bersedia untuk mencurahkan taat setia, cinta dan dedikasi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau politik.

“Ini sebabnya mengapa DAP akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan Malaysia menang dalam perang melawan wabak Covid-19, namun kami akan tetap memberikan kritikan yang membina jika kerajaan melakukan sebarang kesalahan,” ujarnya dalama kenyataan, hari ini.

Tambah Kit Siang, beliau dan semua rakyat Malaysia mengharapkan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan berjaya dalam usahanya mengemudi perang melawan Covid-19.

“Biar saya berlaku jujur — satu-satunya berita baik dalam peristiwa pembentukan Kabinet Perdana Menteri, Ismail Sabri adalah pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan.

“Saya akan terus melontarkan pandangan dan kritikan terhadap Khairy dalam usahanya untuk memerangi Covid-19, bukan kerana saya mahu beliau tersungkur gagal tetapi sebaliknya untuk melihat beliau berjaya!” ujarnya.

Malah katanya, situasi penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan juga menjadi sebab utama Pakatan Harapan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri.

“Kita telah merekodkan lebih dua juta kes Covid-19 sepanjang 21 bulan yang lalu dan mengumpulkan hampir 25,000 kematian akibat wabak itu, termasuk kira-kira 5,000 kematian akibat Covid-19 yang dibawa ke hospital (BID) — angka yang luar biasa mengambil kira jumlah penduduk di negara kita.

“Inilah masanya untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau latar belakang politik untuk bersatu dan melawan musuh bersama ini, iaitu coronavirus yang telah memusnahkan kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia, selain merobek fabrik sosial Malaysia tidak kira di rumah, sekolah, pusat pengajian tinggi, kilang atau pejabat.

“Malah, wabak Covid-19 juga sebenarnya telah menjadi semacam suatu ujian kepada kita; sama ada kita mampu untuk bersatu sebagai rakyat Malaysia bagi melawan musuh bersama ini,” katanya. — Roketkini.com