Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Isu kewarganegaraan bayi lahir luar negara: pinda Perlembagaan -DAP Wanita Selangor

Kenyataan Media DAP Wanita Selangor pada 23 September 2021

DAP Wanita Selangor merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato’ Seri Hamzah Zainuddin di dalam Parlimen pada 22hb September 2021 yang menyatakan hasrat Kerajaan Malaysia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan bayi kelahiran ibu warganegara Malaysia mendapat kewarganegaraan.

DAP Wanita Selangor melihat bahawa penyelesaian kepada isu ini memerlukan lebih daripada suatu deklarasi mahkamah. Pada sebaliknya, suatu pindaan kepada Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan amat diperlukan sebagai penyelesaian jangka masa panjang.

DAP Wanita Selangor menggesa Kerajaan Malaysia untuk meminda perkataan ‘bapa’ dalam Bahagian II, Jadual Kedua, perenggan (1)(b) kepada ‘ibu bapa’. Pindaan tersebut adalah selaras dengan semangat kesamarataan yang terkandung dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

Kami juga ingin menekankan bahawa terdapat diskriminasi ketara dalam pelaksanaan undang-undang kini yang mana juga diiktiraf oleh Mahkamah Tinggi, yang tidak selaras dengan visi ‘Keluarga Malaysia’ yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Dengan itu, kami menggesa agar pindaan undang-undang tersebut dilaksanakan dengan kadar segera. Jika ianya dilaksanakan, DAP Wanita Selangor menyatakan komitmen untuk menyokong pindaan tersebut.

Dalam perkembangan dunia yang kini menekankan kesaksamaan gender, tiada lagi sebab munasabah untuk mempertahankan seksyen dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak mencerminkan prinsip tersebut. Kami berharap agar Kerajaan Malaysia akan membuat keputusan yang menunjukkan komitmen terhadap perkara ini.