Berita

Siasat dakwaan kebocoran data dengan teliti, telus

Siasatan terhadap dakwaan kebocoran data peribadi awam seperti yang dilaporkan oleh media semalam harus diteruskan dengan teliti dan telus, tanpa apa-apa campur tangan daripada mana-mana pihak.

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius terhadap laporan-laporan terbabit. 

“Di samping itu, keputusan siasatan ini wajib dimaklumkan kepada orang ramai setelah selesai supaya benar-benar dapat meyakinkan orang ramai bahawa data peribadi mereka masih selamat.

“Pada masa yang sama, Jawatankuasa Keselamatan PH mencadangkan supaya Kerajaan menyemak semula keberkesanan dan keutuhan infrastruktur keselamatan bagi maklumat dan data yang disimpan oleh badan-badan awam. 

“Sekiranya perlu, infrastruktur keselamatan yang sedia ada perlu dinaiktaraf bagi menghadapi cabaran keselamatan siber pada masa ini,” katanya hari ini. 

Mengulas lanjut, kenyataan tersebut memberitahu, jawatankuasa itu mengambil maklum penafian oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tentang kebocoran maklumat berkenaan. 

Tambah kenyataan itu,  pihak jawatankuasa juga mengambil maklum bahawa Polis Diraja Malaysia telah membuka kertas siasatan mengenai perkara tersebut di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 dan kenyataan media Menteri Dalam Negeri bahawa tiada kebocoran berlaku. 

Akan tetapi, ujarnya, pihak jawatankuasa menggesa supaya siasatan harus diteruskan dengan teliti dan telus. 

Menurutnya, jika benar terdapat kebocoran data peribadi daripada pangkalan data awam, ia merupakan suatu pelanggaran keselamatan (security breach) yang serius. 

Perkara tersebut katanya, boleh mendedahkan orang ramai kepada pelbagai risiko termasuklah penipuan dan kecurian identiti (identity theft) serta boleh mengakibatkan keselamatan negara dikompromi. 

Semalam, satu forum perbincangan digital melaporkan pangkalan data milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah disenaraikan untuk dijual dalam pasaran forum pangkalan data yang terkenal dengan menawarkan empat juta data peribadi awam diperoleh daripada laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui myIDENTITY. – Roketkini.com