Berita

Dengarlah rayuan rakyat — Batalkan atau longgarkan MyTravelPass

Oleh B. Suffian

Kerajaan digesa mendengar rayuan rakyat Malaysia dan segera membatalkan sistem MyTravelPass atau sekurang-kurangnya melonggarkan kriteria kelulusan ke luar negara terutama bagi mereka yang mendapat tawaran pekerjaan di negara lain.  

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, pengumuman beberapa penambahbaikan kriteria MyTravelPass oleh Jabatan Imegresen sebelum ini tidak memadai kerana banyak antara aduan yang diterimanya adalah berkenaan pekerjaan di luar negara. 

Beliau berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat mendengar aduan-aduan tersebut dan seterusnya secepat mungkin melonggarkan lagi kriteria-kriteria ke luar negara atau sebaik-baiknya, membatalkan terus MyTravelPass. 

“Kita minta Perdana Menteri sedikit keprihatinan, sedikit simpati, sedikit berperimanusiaan kepada rakyat, yang bukan hendak ‘bercuti’ pada masa ini hendak ke luar negeri. 

“Banyak perkara yang perlu diuruskan di luar negeri. Sekarang kita sudah masuki era globalisasi, (justeru) batalkan MytravelPass supaya penderitaan dan kesengsaraan rakyat atas MytravelPass dapat diselesaikan sekali gus,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud semalam mengumumkan beberapa pengecualian MyTravelPass bermula esok merangkumi pelajar yang baru mendapat tawaran belajar di universiti luar negara bersama dua orang pengiring; pelajar lama yang menyambung pelajaran di luar negara bersama dua orang pengiring; pelajar yang menduduki peperiksaan di luar negara bersama dua orang pengiring. 

Selain itu, pengecualian diberikan bagi urusan kecemasan seperti kematian dan sakit kritikal; bertemu isteri atau suami di luar negara di mana perkahwinan hanya didaftarkan di luar negara; menyertai acara sukan, seminar dan mesyuarat serta menyertai misi bantuan kemanusiaan.

Dalam sidang akhbar sama, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP turut mengongsikan email yang diterimanya dari pihak pengadu. 

Beliau menambah, sekiranya permohonan tetap diperlukan, permohonan itu seharusnya diluluskan secara automatik jika tiada jawapan dalam tempoh 4 hari permohonan. 

“Dengan ini, barulah penderitaan atau kesengsaraan rakyat yang terlibat ini dapat diatasi,” katanya lagi. – Roketkini.com