Kenyataan Akhbar

Kos terperinci pengubahsuaian kediaman PM perlu didedahkan

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP)

Demi kepentingan ketelusan dan akauntabiliti awam, kos terperinci bagi RM38.5 juta kos pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri perlu didedahkan untuk memberi alasan kukuh terhadap penggunaan dana rakyat sedemikian ketika menghadapi krisis berkembar pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

Demi ketelusan dan akauntabiliti awam, kos terperinci bagi RM38.5 juta kos pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri perlu didedahkan untuk memberi alasan kukuh terhadap penggunaan dana rakyat sedemikian ketika menghadapi krisis berkembar pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Abd. Latiff Ahmad menyatakan bahawa projek itu telah diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja telah dimulakan pada 29 Mac 2021 dengan jangkaan siap pada 7 Disember 2021.

Bagi projek yang telah diluluskan pada 19 Mac tetapi dapat dijalankan hanya sepuluh hari kemudian, menimbulkan persoalan adakah tender terbuka awam telah dilakukan. Sekiranya tidak, maka di manakah kepentingannya sehingga protokol perolehan kerajaan tidak dipatuhi? Pada ketika kerajaan kekurangan dana, adakah membelanjakan RM38.5 juta untuk pengubahsuaian adalah diperlukan apabila dana tersebut dapat digunakan untuk membina perumahan awam untuk orang miskin, terutama di kawasan bandar? 

Selain itu, apakah pengubahsuaian yang diperlukan sehingga mencecah kos yang tinggi? Kecuali jika kos tersebut diteliti secara ketat, rakyat berhak untuk bertanya apakah RM38.5 juta tersebut dapat digunakan dengan lebih baik untuk memerangi pandemik Covid-19 dengan lebih banyak katil unit rawatan rapi (ICU), rawatan dan ubat-ubatan yang lebih baik atau bahkan bantuan kewangan kepada mereka yang terkesan akibat  kemelesetan ekonomi. – Roketkini.com