Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Pembebasan Ahmad Maslan Bukti Wujud Sistem Dua Darjat

Oleh Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar

Adakah kita sanggup mempermainkan proses undang-undang hanya untuk menyelamatkan seseorang yang mempunyai pengaruh dan kekuatan politik? Seluruh rakyat Malaysia terkejut dengan berita pembebasan Yang Berhormat Ahmad Maslan daripada tuduhan di Mahkamah untuk dua kesalahan yang amat serius.

Jelas, kes ini membuktikan wujudnya amalan ‘dua darjat’ dalam sistem keadilan di negara kita.

Perkara ini tidak mungkin berlaku jika tertuduh itu bukanlah seorang Ahli Parlimen yang berpengaruh. Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO telah diberi tawaran kompaun dan dibebaskan setelah pendakwaan terhadapnya dibuat dan dihadapkan di mahkamah.

Integriti dan kredibiliti institusi Peguam Negara telah terhakis sepenuhnya apabila sistem perundangan negara kita dipermainkan semata-mata untuk berpihak kepada kuasa kerajaan yang memerintah. Rakyat melihat tindakan ini sebagai satu kompromi yang amat menjejaskan imej institusi kehakiman dan Peguam Negara.

Penarikan semula pendakwaan terhadap Ahmad Maslan adalah tidak wajar. Apakah ini sengaja dilakukan untuk memberi peluang dan membuka jalan kepada beliau untuk dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat? Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebaskan Ahmad Maslan daripada pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada mantan Perdana Menteri YB Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ahmad Maslan dilepaskan daripada kedua-dua pertuduhan dengan membayar kompaun RM1.1 juta.

Adakah ini bermakna kerajaan hari ini akan mencari jalan untuk membebaskan semua kluster mahkamah dengan ‘beat the system’ yang sedia ada?