Berita, Rencana

DAP harus ‘MUDA’

Oleh Sheikh Umar Bagharib Ali

(ADUN Paloh, Naib Pengerusi DAP Johor dan Ketua Pemuda DAP Johor)

Banyak perkara yang telah dibincangkan semasa pertemuan MUDA bersama DAP Johor semalam. Hampir 2 jam.

Antara isu-isu yang diangkat ialah berkaitan undi 18, isu-isu negeri dan juga soal ekonomi.

Bagi MUDA sebagai sebuah parti baharu yang masih dalam proses mendapatkan kelulusan pendaftaran dari ROS, pastilah banyak perkara asas yang harus mereka persiapkan.

Saya kongsikan pandangan DAP.

Antaranya saya beritahu, pada penggal kepimpinan kali ini kami telah menggariskan 5 Agenda Baharu DAP Johor sebagai langkah memperkasa gerak kerja, imej serta pembawaan parti ini.

Antara 5 agenda ini, termasuklah salah satunya fokus untuk pastikan DAP Johor menjadi wahana yang dekat dengan golongan muda dan wanita.

Saya bersikap jujur semalam.

Saya beritahu MUDA, semasa saya merangka Agenda Baharu DAP Johor ini, saya nyatakan kepada Pengerusi DAP Johor Sdra Liew Chin Tong serta rakan-rakan pimpinan yang lain, DAP harus membawa parti ini seolah-olah ‘tiada keperluan wujudnya sebuah parti bernama MUDA’!

May be an image of 3 people, people standing, people sitting and indoor

Maksud saya, sekiranya DAP Johor boleh membawa pendekatan lebih segar, lebih ‘muda’ dan ‘cool’, mengangkat isu-isu ekonomi dan pekerjaan yang kian parah, ia boleh mengisi keperluan serta kehendak generasi berusia 40-an dan kebawah yang membentuk lebih 50% pengundi kita pada hari ini.

Bahkan, DAP harus memainkan peranan sebagai ‘the party for a better future of Malaysia’. Sebuah parti yang merangkul agenda masa depan negara yang lebih ‘prosperous’.

DAP Johor berhasrat menjadi sebuah parti yang membuka lebih banyak peluang kepada anak muda serta wanita untuk mereka mainkan peranan yang besar dalam menyumbang kepada negara menerusi parti ini.

Dari sudut aktiviti parti pula, DAP berusaha mempelbagaikan pendekatan. Mungkin ramai dari kalangan anak muda dan wanita yang sudah bosan dengan pendekatan lama orang politik yang asyik berbincang seputar soal kuasa dalam kerangka sempit untuk mendapatkan kedudukan mahupun laba semata-mata.

May be an image of 7 people, people standing and indoor

DAP Johor mahu keluar dari kerangka tipikal itu dengan mempelbagaikan wajah pendekatan politiknya. DAP Johor mahu mengembangkan pendekatan politik kebajikan, kesukarelawanan, pendidikan dan kesedaran. DAP Johor berusaha mengangkat kearifan lokal, menghargai kreativiti insan, kehalusan seni dan budaya serta menjunjung semangat persaudaraan bangsa Malaysia.

Ia sangat tepat dengan tema Demokratik, Adil dan Peduli serta pendekatan Muhibah yang dijulang DAP pada masa ini.

Ini adalah kelompangan yang ditinggalkan oleh pendekatan politik ‘cara lama’ yang diwariskan sekian lama kepada kita menerusi politik ‘patronage’.

Kerana itu saya yakin, dengan hasrat DAP Johor ini dan niat tertubuhnya parti MUDA akan memberikan persegaran untuk ‘way forward’ politik di negara kita.

Kami harap lebih banyak kerjasama antara DAP dan MUDA Johor dapat dilaksanakan demi kebaikan rakyat.

Kerana ‘muda’ itu bukan sekadar pada usia semata-mata, tetapi semangat, iltizam, pendekatan dan cita-cita untuk Malaysia yang lebih baik.

Untuk anak cucu kita. — Roketkini.com