Uncategorized

Pilihan raya PBT salah satu kaedah terbaik basmi rasuah

Mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan adalah untuk mengembalikan amalan demokrasi secara amnya.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid.

Dengan penyertaan awam dalam pemilihan yang demokrasi itu, katanya, ia akan memaparkan ketelusan dan mewujudkan versi pemilikan komunal yang lebih baik.

“Tidak dinafikan ia juga dianggap sebagai salah satu kaedah terbaik untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, demokrasi sebati dalam darah umat Islam yang melihat kepada kesetaraan manusia sepenuhnya serta mempercayai konsep persaudaraan, persamaan dan kebebasan.

Tambahnya, kesaksamaan, kedaulatan undang-undang, dan keadilan juga merupakan tunjang utama dalam falsafah Islam.

“Oleh itu, idea bahawa pilihan raya kerajaan tempatan dianggap tidak Islamik adalah penyalahan maklumat secara terang-terangan yang bermaksud mendorong untuk memecah belahkan masyarakat di negara ini,” katanya lagi.

Syerleena juga menempelak kenyataan Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim baru-baru ini yang dilihat cuba memburuk-burukkan Pakatan Harapan yang memimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kata beliau, dengan membandingkan orang Melayu Pulau Pinang sebagai rakyat Palestin hanya memperbesar kejahilan sehingga menutupi penilaiannya yang lebih baik.

“Mungkin lebih baik bagi Iszuree untuk memfokuskan perhatian kepada isu-isu mendesak yang nyata.

“(Ini) seperti bagaimana kemelesetan ekonomi menyebabkan kenaikan pengangguran, penurunan pendapatan dan bagaimana sekatan pandemik telah memecah belahkan institusi kekeluargaan,” katanya. – Roketkini.com