Rencana

RMKe-12 pinggirkan reformasi institusi dan politik negara

Oleh Fakhrurrazi Rashid

(Koordinator Penyelidik REFSA)

Akhirnya, Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) telah dibentangkan di parlimen setelah lebih setahun ditangguhkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN). Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mula merangka RMKe-12 pada tahun 2019. Tetapi, pertukaran kerajaan PN pada Mac 2020 telah menyebabkan RMKe-12 diubah semula dengan mengambil kira krisis COVID-19 dan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob melihat RMKe-12 akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan bakal mengembalikan kualiti hidup rakyat pada tahun 2025. Bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan memperuntukan RM 400 bilion bagi membiayai projek sambungan atau baharu dalam RMKe-12.

Beberapa pakar ekonomi melihat unjuran ekonomi RMKe-12 tidak realistik dan agak terburu-buru bagi membina semula kesejahteraan rakyat daripada pandemik COVID-19. Namun,  RMKe-12 dilihat telah ‘meminggirkan’ perancangan transformasi menyeluruh bagi memperkukuh ketelusan dan integriti sistem pentadbiran dan demokrasi negara yang kian kritikal hari ini.

Walaupun kerajaan persekutuan dan PH telah memertai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September yang menjadikan reformasi institusi sebagai agenda utama. Namun perkara ini tidak ditekankan dalam RMKe-12 secara menyeluruh.

Komitmen RMKe-12 meneruskan inisiatif Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023. Namun, pelaksanaan NACP ini agak perlahan dan hanya berjaya dilaksanakan sekitar 40% setakat Mei 2020. Berbaki kurang daripada dua tahun, sejauh manakah kerajaan Ismail Sabri mampu melaksanakan pelan yang terkandung dalam NACP?

RMKe-12 bayangan kelemahan ‘Muhyiddin’

RMKe-12 tidak meneruskan beberapa agenda reformasi yang dinyatakan dalam Kajian Separuh Penggal RMK11 seperti usaha menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) satu badan bebas daripada campur tangan politik Perdana Menteri, memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dan memperkenalkan Akta Pembiayaan Politik.

Sedangkan, agenda ini penting untuk meningkatkan integriti dan demokrasi negara, khususnya dalam isu membanteras jenayah rasuah.  Isu ketirisan ini telah didedahkan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador yang mendakwa terdapat unsur rasuah berlaku dalam insiden lompat parti semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin, termasuk campur tangan politik dalam pelantikan pegawai kanan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Namun, SPRM tidak proaktif dalam mengatasi isu ini dan ia seolah-oleh memperlihatkan badan itu hanya mengikut telunjuk eksekutif. Akibat kelemahan ini, rakyat melihat perlunya reformasi SPRM supaya menjadi badan bebas dibawah kawal selia parlimen.

Pada 2 September 2020, Jawatankuasa Khas Kabinet dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin bersetuju meminda Seksyen 5 (1) Akta SPRM 2009 bagi memberi kuasa kepada parlimen melantik Ketua Pengarah SPRM. Meskipun langkah ini dapat memastikan SPRM sebagai badan bebas,  tetapi tiada sebarang kemajuan dilaporkan setelah setahun dicadangkan.

Ironinya, RMKe-12 tidak memfokuskan isu memperkasa SPRM, tetapi mengambil pendirian untuk memperkasa undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Pencegahan Jenayah 2015, yakni undang-undang yang sering digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat dan musuh politik parti pemerintah. 

Kita harus akui, kelemahan tadbir urus dan politik menjadi faktor utama krisis pandemik gagal diatasi kerajaan Malaysia. Kecuaian pentadbiran PN dalam mengatasi pandemik menyebabkan Malaysia menduduki tangga tercorot dalam Indeks Pemulihan COVID-19 daripada Bloomberg, berada di kedudukan 51 daripada 53 negara terbesar ekonomi dunia setakat 28 September 2021.

Caca marba sistem pentadbiran dan demokrasi negara telah menjadi punca para pelabur tidak yakin untuk meletakkan wang mereka di Malaysia. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Pelaburan Langsung Asing (FDI) Malaysia menurun 54.8 peratus pada tahun 2020. Ketidakstabilan politik dan kelemahan kerajaan membuat dasar yang komprehensif bagi menguruskan pandemik menjadi punca pelabur tidak mahu mengambil risiko berniaga di Malaysia. 

Agak janggal sekiranya Malaysia ingin menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025 melalui RMKe-12, tetapi institusi awam dan demokrasi negara masih berada di tahap negara berpendapatan rendah. Sebuah negara maju tidak mungkin meminggirkan agenda pembaharuan demokrasi dan integriti bagi membina sebuah ekonomi yang benar-benar memberi kemakmuran kepada rakyat. 

Dengan mengambil iktibar insiden #KerajaanGagal dibawah kerajaan PN, Ismail Sabri perlu komited menambahbaik agenda perubahan institusi dalam RMKe-12 dan membuktikan beliau tidak duduk dibawah bayang-bayang Muhyiddin Yassin yang gagal memimpin negara.

Bukan dokumen statik

Hakikatnya, Malaysia tidak boleh mengenepikan agenda reformasi institusi dan demokrasi untuk menjadi sebuah negara maju. RMKe-12 tidak seharusnya dilihat sebagai dokumen ekonomi semata-mata, tetapi sebagai satu usaha memecahkan kebuntuan politik dan ketirisan tadbir urus yang telah menjejaskan pembangunan ekonomi Malaysia sejak beberapa dekad yang lalu. 

Sekiranya sistem pentadbiran negara lemah, tentunya perancangan dan agihan ekonomi yang telah dirangka kerajaan tidak akan sampai kepada rakyat terbanyak. Maka, RMKe-12 perlu melalui fasa pindaan dan perubahan bagi memperkukuh sistem politik dan tadbir urus negara.

RMKe-12 perlu dikaji semula oleh ahli parlimen dan kerajaan untuk dipinda bagi memasukkan pelan transformasi institusi awam dan demokrasi yang lebih komprehensif. Jawatankuasa Pilihan Khas di parlimen boleh berperanan dalam mengkaji dan meneliti penambahbaikkan RMKe-12 dengan mengambil kira cadangan daripada rakyat dan pemegang taruh. 

RMKe-12 tidak sepatutnya menjadi dokumen ‘statik’ yang tidak boleh ditambah baik atau dipinda. Ia sepatutnya perlu menjadi dokumen yang dibincangkan secara aktif sama ada di parlimen dan ruang awam. Pendekatan ini dapat mencambahkan lagi perbahasan idea dalam membangunkan Malaysia secara dwipartisan, khasnya ketika fasa pemulihan pandemik. – Roketkini.com