Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Usah terperangkap dalam isu lambang, fokus menang PRU-15

oleh Ghafar NS

Parti AMANAH dan DAP Johor dalam satu kenyataan bersama hari ini menegaskan pendirian berpegang teguh dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 23 Ogos 2021 lalu untuk menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15 akan datang.

“Semua parti komponen perlu bersama merangka strategi dan memulakan gerak kerja dengan semangat kesatuan PH.

“Kita tidak boleh membuang masa dan terperangkap dalam isu logo atau lambang sedangkan masa terus bergerak menghampiri pilihan raya.”

Kenyataan bersama oleh Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kayat dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Baghrib Ali itu juga berpendapat PH masih mempunyai masa yang cukup untuk mengukuhkan gabungan ini, asalkan parti-parti komponen terus fokus bagi melipatgandakan usaha dan bersama mencapai kemenangan pada PRU ke-15 nanti.

Isu penggunaan lambang PH dalam PRU ke-15 telah dibincang dengan panjang lebar semasa program Permukiman Pimpinan Pusat Pakatan Harapan di Port Dickson pada 8 dan 9 April 2021 lalu.

Menurut kenyataan itu juga, hasrat ini selari dengan iltizam penyatuan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, budaya dan latar belakang bagi merealisasikan pembentukan sebuah kerajaan adil, kompeten serta berdiri atas prinsip-prinsip reformasi. – Roketkini.com