Uncategorized

Berikan PKS pengecualian atau pengurangan faedah – Guan Eng

Kenyataan Akhbar Oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan pada 4.10.2021

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa telah menyatakan bahawa kerajaan sedang mencari jalan yang sesuai untuk melaksanakan moratorium pinjaman tanpa faedah kepada peminjam dan masih dalam perbincangan dengan institusi kewangan kerana perkara ini melibatkan keputusan komersial antara pihak pengurusan bank. Tidak perlu dilengahkan lagi kerana kita sudah berada di bulan Oktober di mana pengecualian faedah selama 3 bulan sepatutnya sudah bermula.

Salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Transformasi dan Kestabilan antara Perdana Menteri dan empat pemimpin tertinggi Pakatan Harapan di Dewan Parlimen pada 13 September 2021 adalah pengecualian pembayaran faedah moratorium pinjaman bank untuk 50% terbawah rakyat Malaysia, daripada segi klasifikasi pendapatan, bagi jangka masa tiga bulan pada suku keempat 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah bertindak segera dengan mengarahkan institusi perbankan pada 14 September untuk mengusahakan pengecualian pembayaran faedah kepada penerima moratorium pinjaman bank. Terdapat keperluan bagi pemenang disebalik pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan serta sedang berusaha keras untuk mencari pekerjaan atau meneruskan hidup.

Salah satu pemenang tersebut adalah industri perbankan, yang keuntungannya terus meningkat ketika perniagaan dan PKS bergelut dengan masalah. Industri perbankan perlu belajar berkongsi setelah mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM32.3 bilion pada tahun 2019 dan lebih daripada RM23 bilion pada tahun 2020 walaupun terdapat kemelesetan ekonomi dan dijangka mencatatkan yang baik tahun ini.

DAP telah mencadangkan agar pengecualian kadar faedah selama 3 bulan tersebut juga perlu merangkumi PKS, yang sedang menghadapi masalah kewangan, berikutan kegagalan pengurusan krisis berkembar nasional pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi diakibatkannya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengatakan pada 29.7.2021 bahawa PKS telah mengalami kerugian sebanyak RM40.7 bilion pada tahun 2020 dan bahawa sekitar 580,000 perniagaan, yang mewakili 49% sektor PKS, berisiko gagal menjelang Oktober  2021 sekiranya ekonomi belum dibuka sepenuhnya dan mereka tidak dibenarkan beroperasi ketika itu.

Kita sekarang berada di bulan Oktober dan ekonomi masih belum dibuka sepenuhnya. Kerajaan perlu menyedari bahawa hampir 1 juta PKS yang merangkumi 98.5% daripada semua pertubuhan perniagaan yang menggaji 7.3 juta rakyat Malaysia pada tahun 2020, yang merupakan 48% daripada pekerjaan negara. Oleh kerana pembukaan semula ekonomi sepenuhnya mungkin hanya akan berlaku tahun depan, pengecualian faedah juga perlu melibatkan PKS untuk menyelamatkan mereka daripada kejatuhan perniagaan yang akan berlaku.

Negara telah mencatatkan kerugian ekonomi lebih daripada RM500 bilion sejak “total lockdown” pertama yang dilaksanakan tahun lalu. Yang paling teruk terjejas adalah sektor pelancongan dengan kerugian RM130 bilion pada tahun 2020 dan kerugian yang lebih tinggi dijangkakan tahun ini.

Walaupun jika kerajaan tidak mempertimbangkan pengecualian kadar faedah, penurunan kadar faedah sekurang-kurangnya 2% perlu diberikan untuk industri yang sedang tenat ini.