Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Perkembangan politik terkini di Melaka

Kenyataan media oleh Khoo Poay Tiong, Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada 5 Oktober 2021

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti DAP mengambil maklum mengenai situasi politik terkini di Melaka di mana empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menarik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Umum diketahui bahawa kerajaan PN di Melaka menghadapi konflik dalaman sejak penubuhan kerajaan tersebut. Kini, konflik dalaman tersebut telah merebak dan empat orang ADUN tersebut telah sekali lagi mencetuskan krisis politik di Melaka yang berkemungkinan merebak ke seluruh negara.

Pihak CEC telah mengadakan suatu mesyuarat semalam untuk membincangkan perkembangan politik di Melaka. Pengerusi PH Melaka, saudara Adly Zahari, telah dijemput untuk memberi penerangan mengenai isu tersebut. Pihak CEC merakamkan penghargaan kepada saudara Adly Zahari atas penjelasan dan pandangan beliau dalam perkara ini.

Pihak CEC tidak bersetuju bahawa pilihan raya negeri wajar diadakan. Malaysia sedang beransur pulih daripada krisis Covid-19 dan pilihan raya akan menjejaskan proses pemulihan tersebut. Kita tidak harus mengulangi kesilapan seperti pilihan raya negeri Sabah pada tahun lepas yang telah menyebabkan peningkatkan kes Covid-19 secara mendadak dan kerajaan hilang kawalan terhadap virus tersebut.

Memandangkan kerajaan negeri PN telah tumbang, mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman bin Md Ali, seharusnya meletakkan jawatan dengan segera kerana beliau tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri. Beliau tidak mempunyai kedudukan untuk menasihatkan supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Yang di-Pertua Negeri mesti diberi ruang untuk bertindak secara bebas dan objektif berlandaskan perlembangan negeri, tanpa sebarang pengaruh atau tekanan daripada mana-mana pihak.

Sebuah kerajaan baharu sepatutnya ditubuhkan di Melaka berdasarkan perlembagaan negeri. Parti atau gabungan yang mempunyai majoriti wajar diberi peluang dan jemputan utama untuk menubuhkan kerajaan baharu. Dalam mesyuarat CEC, pihak CEC telah menyatakan pilihan calon Ketua Menteri kepada saudara Adly Zahari.

Pihak CEC menegaskan bahawa krisis politik di Melaka wajar diselesaikan dengan segera supaya perhatian boleh dikembalikan kepada kesejahteraan rakyat. Politik dalaman dan ahli-ahli politik yang tidak berpuas hati tidak seharusnya menjadi gangguan terhadap usaha-usaha negara mengatasi krisis kesihatan dan krisis ekonomi semasa.