Kenyataan Akhbar

Utamakan kesihatan mental dalam menuju ke arah peringkat endemik

Kenyataan Media oleh ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei:

Peningkatan drastik kes bunuh diri sepanjang pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai lebih terbuka untuk membincangkan isu kesihatan mental. Setakat Julai 2021, 638 kes bunuh diri dilaporkan, berbanding dengan 262 kes pada tempoh yang sama tahun lepas. Minggu ini, timbalan menteri kesihatan YB Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan Dewan Negara bahawa Talian Sokongan Psikososial telah menerima 223,990 panggilan setakat 19 September. 80.8% daripada pemanggil memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Dalam menuju ke arah peringkat endemik, Kerajaan Persekutuan harus mengutamakan kesihatan mental dengan mengambil langkah-langkah tersebut:

  1. Nyah-jenayah cubaan bunuh diri

Sehingga hari ini, pindaan kepada Seksyen 309 Kanun Keseksaan masih belum dibentangkan ke Parlimen. Kerajaan Persekutuan harus menjawab: apakah pertimbangan ataupun halangan kepada pembentangan ini?

Sementara kita menunggu, Kerajaan Persekutuan harus mewujudkan moratorium terhadap pendakwaan pemandiri cubaan bunuh diri. Pembukaan semula sektor-sektor ekonomi masih berpotensi mendatangkan tekanan kepada mereka yang bergelut dengan masa depan yang tidak tentu. Pemandiri harus dibantu, bukan dihukum.

2. Penambahbaikan sistem kesihatan dan kerjasama dengan pihak swasta

Bagaimana kita dapat meningkatkan sokongan bagi individu yang telah mendapat diagnosis psikiatri? Talian hayat kurang berguna bagi golongan ini, sedangkan masa menunggu untuk temu janji psikiatri telah bertambah dari 3 bulan hingga 6 bulan.

Menteri kesihatan YB Khairy Jamaluddin harus menangani isu-isu yang dibawa oleh gerakan #HartalDoktorKontrak untuk menyelesaikan kekurangan bilangan doktor psikiatri. Satu lagi cadangan ialah untuk memberi insentif kepada sektor swasta. Kerajaan Persekutuan boleh menanggung kos terapi untuk sebilangan sesi dengan pakar swasta. Saya bersama-sama YB Michelle Ng (ADUN Subang Jaya) telah mengemukakan kertas kerja kepada Kerajaan Negeri Selangor dan akan membawa cadangan ini dalam sidang Belanjawan Negeri Selangor 2022 yang menjelang.

Langkah awal juga telah dilaksanakan melalui inisiatif SEHAT Selangor dalam aplikasi Selangkah. Pengguna menjawab 10 soalan saringan (termasuk saringan risiko) dan dibekalkan dengan bahan pendidikan kesihatan mental serta akses kepada bantuan pakar kesihatan mental.  

Kita juga boleh mengambil iktibar daripada program “Improving Access to Psychological Therapies” (IAPT) yang diamalkan di United Kingdom. IAPT menggunakan “stepped care model”, yang menilai, memberi dan memantau perkhidmatan kesihatan mental supaya kaedah yang paling berkesan dan menggunakan paling kurang sumber diberi kepada pesakit terlebih dahulu.

3.Kerjasama antara kementerian dan pemberdayaan kaunselor bagi anak yatim akibat Covid-19

Menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat (KPWKM) YB Datuk Seri Rina Harun telah memaklumkan Dewan Rakyat bahawa 4,422 kanak-kanak telah kehilangan penjaga utama akibat Covid-19. 154 daripada 4,422 kanak-kanak tersebut menjadi anak yatim piatu.

Dengan pembukaan semula sekolah, kerjasama antara kementerian dan agensi amat penting supaya golongan ini mendapat sokongan emosi sewajarnya. KPWKM mempunyai 1,000 pekerja sosial dan 150 kaunselor, manakala terdapat 20,000 kaunselor di sekolah-sekolah. Dalam model “stepped care”, kaunselor boleh dilatih supaya mereka peka terhadap tanda-tanda kemurungan, gangguan kebimbangan, ataupun gangguan stres pasca trauma (PTSD) dan boleh memberi bantuan psikologi awal kepada kanak-kanak, terutamanya golongan yang telah kehilangan orang tersayang akibat Covid-19.

4. Mengiktiraf ketidakadilan sosial sebagai komponen kesihatan mental

Sepanjang pandemik Covid-19, pusat khidmat saya telah membantu rakyat yang mengalami keganasan rumah tangga, deraan seksual, kehilangan kerja, penyakit kronik dan lain-lain cabaran. Raut wajah ramai menunjukkan tekanan emosi, ada juga yang menangis semasa panggilan telefon atau di hadapan kami.

Kesihatan mental merangkumi perumahan yang selamat, peluang pekerjaan, gaji setimpal, peluang pendidikan dan sebagainya. Seperti yang diutarakan oleh YB Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang, perlindungan sosial harus menjadi dasar utama dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Cukuplah kita sekadar bergantung kepada talian hayat dan kempen-kempen kesedaran. Sebaliknya, kita harus mengiktiraf ketidakadilan sosial di kalangan masyarakat dan menanganinya dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan mental rakyat Malaysia.