Kenyataan Akhbar

Debat dasar kabotaj: bukan hanya debat politik, tapi demi masa depan digital negara

Kenyataan Akhbar Oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Di Kuala Lumpur Pada 8.10.2021

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong telah melancarkan serangan peribadi dengan marah terhadap saya mengenai perdebatan awam antara kami dalam Bahasa Malaysia yang akan disiarkan secara langsung di stesen TV mengenai dasar kabotaj beliau yang salah kerana enggan memberikan pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang melakukan kerja pembaikan kabel dasar laut. Wee mungkin berasa marah kerana dia tidak menyangka saya akan menerima cabarannya untuk berdebat tentang hubung kait antara dasar kabotaj yang salah oleh Wee dan Malaysia terlepas peluang dalam projek infrastruktur kabel bawah laut utama yang dilakukan oleh Facebook dan Google serta kerugian RM12-15 bilion dalam pelaburan digital.

Saya ingin mengingatkan Wee bahawa serangan peribadi terhadap saya tidak dapat menutup kerugian pelaburan digital berjumlah RM12-15 bilion seperti didedahkan oleh bekas Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Dr Rais Hussin akibat Wee menukar pengecualian kabotaj yang diberikan Menteri Pengangkutan PH Loke Siew Fook sebelum ini. Wee telah menyerang Rais di Parlimen sebagai salah untuk mengaitkan dasar kabotaj dengan kehilangan pelaburan kritikal ini. Malangnya, Rais telah meletakkan jawatan beberapa hari kemudian setelah serangan Wee, dengan Rais menyatakan bahawa dia enggan menjadi “Yes-man”!

Penjelasan versi Wee tidak dipersetujui oleh industri berteknologi tinggi apabila syarikat gergasi digital antarabangsa telah berulang kali menulis surat kepada bekas Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang untuk membantah keengganan dan kedegilan Wee untuk memberikan pengecualian kabotaj kepada kerja pembaikan kabel dasar laut. Wee telah meneruskan pembohongannya dengan mengatakan bahawa saya tidak akan berani berdebat dengannya walaupun saya telah menerima cabarannya di Parlimen.

Wee mendakwa bahawa saya tidak akan berani berdebat dengannya kerana kononnya sebelum ini saya enggan berdebat mengenai projek terowong Pulau Pinang yang tertunda, di mana dia mendakwa bahawa pembayaran telah dilakukan melalui pertukaran tanah di mana sebuah kondominium dibina di atasnya dengan semua unit telah terjual. Sekali lagi, Wee tidak bercakap benar sedangkan Kerajaan Pulau Pinang berulang kali mengatakan bahawa tidak ada pembayaran atau tidak satu sen pun dibayar untuk projek terowong Pulau Pinang. Bagaimana nak berdebat mengenai perkara yang direka berdasarkan pembohongan?

Sedangkan mengenai debat semasa tentang dasar kabotaj untuk kerja pembaikan kabel dasar laut, Wee telah mendakwa bahawa Kabinet akan membuat keputusan akhir pada awal Oktober. Sekiranya keputusan akan dibuat oleh Kabinet pada awal Oktober, mengapa perdebatan tidak dapat diadakan pada 23 Oktober 2021?  Atau adakah Wee mengelirukan Parlimen ketika dia mengatakan bahawa perkara itu akan diputuskan pada awal Oktober?

Ini bukan sekadar perdebatan politik yang dicabar oleh Wee dengan marah terhadap saya yang disertakan dengan serangan peribadi toksid. Ini bersangkut paut dengan masa depan digital negara kita. Kita perlu melindungi anak muda negara dan masa depan mereka.