Uncategorized

Apa nasib sekolah lain di Kepong yang belum terima sumbangan laptop? – Lim Lip Eng

Kenyataan media ahli parlimen Kepong Lim Lip Eng pada hari Ahad 10 Oktober 2021 di Kuala Lumpur:

Sejumlah 551 buah laptop percuma telah diberikan oleh kerajaan kepada pelajar-pelajar memerlukan di sekolah-sekolah di Kepong, dan pemberian ini adalah untuk tiga sekolah sahaja. Pelajar-pelajar yang memerlukan di sekolah-sekolah lain di Kepong bagaimana pula? Untuk pengetahuan semua, terdapat sejumlah 13 sekolah di dalam kawasan parlimen Kepong, dan daripada 13 buah sekolah tersebut hanya tiga sahaja sekolah yang mendapat pemberian laptop ini.

Persoalan yang jelas di sini adalah bagaimanakah pihak kerajaan menguruskan pemberian laptop-laptop ini kepada pelajar-pelajar yang memerlukan sehinggakan ada banyak sekolah yang tercicir dari pemberian ini? Dalam pada itu, pemberian laptop-laptop dilihat tidak teratur kerana terdapat beberapa kawasan parlimen yang mendapat jumlah pemberian yang sangat kecil. Misalnya di Kuala Lumpur, parlimen Segambut menerima pemberian sebanyak 60 buah laptop untuk dua buah sekolah, parlimen Cheras menerima pemberian sebanyak 45 untuk sebuah sekolah, dan parlimen Bukit Bintang dengan hanya 12 buah laptop untuk satu sekolah. Apakah nasib pelajar-pelajar memerlukan di sekolah lain? Sudahlah pemberian ini begitu lambat prosesnya.

Sudah terang lagi bersuluh lagi bahawa projek-projek seperti ini dirangka oleh individu-individu yang tidak menyentuh tanah dan digubal dari kamar-kamar berdingin hawa. Di kala pandemik yang melarat dan telah menjejaskan pembelajaran anak-anak, mereka hanya melakukan kerja sekadar memenuhi kuota dan nombor sahaja. Tambahan pula, laptop-laptop percuma ini juga bukanlah dibeli dengan wang kerajaan, malahan adalah projek sumbangan daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka.

Tuntutan yang jelas buat waktu ini adalah apakah nasib untuk sekolah-sekolah lain di Kepong yang masih belum menerima sumbangan laptop tersebut? Apakah mereka layak untuk menerima dan sekiranya layak, bagaimanakah proses untuk mereka menerima pemberian tersebut?