Isu Semasa

Hentikan politik bermuka dua – Nie Ching

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching meminta pemimpin UMNO dan Bersatu untuk hentikan permainan politik perkauman yang hanya menambah kebencian di antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Ini susulan soalan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah tentang perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan sekolah satu aliran bagi menyelesaikan isu masyarakat yang tidak fasih berbahasa Melayu di Dewan Rakyat semalam.

Soal Nie Ching, mengapa cadangan tersebut tidak dilaksanakan semasa UMNO dan BN menjadi kerajaan selama berdekad-dekad lamanya.

“Kenapa tidak minta KPM laksanakannya semasa beliau (Shamsul Anuar) menjadi seorang Menteri? Atau beliau hanya diam membisu dalam mesyuarat Kabinet?

“Adakah ini benar-benar cadangan yang jujur atau sekadar mahu bermain dengan politik perkauman?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nie Ching, ramai anak Malaysia yang belajar di sekolah antarabangsa juga dikatakan tidak dapat menguasai Bahasa Kebangsaan dengan baik.

“Adakah Ahli Parlimen Lenggong mahu kerajaan menghapuskan semua sekolah antarabangsa di Malaysia?” soalnya lagi.

Nie Ching turut membangkitkan isu peruntukan RM15 juta untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina yang telah diberikan sejak dari zaman Pakatan Harapan (PH) mentadbir dan ia disambung sehingga zaman Perikatan Nasional (PN) sekarang.

“Persoalannya, mengapa pada zaman PH, peruntukan ini dipertikaikan oleh mereka yang menunjuk lagak sebagai juara kaum?” soalnya.

Nie Ching merujuk kepada menteri-menteri dan timbalan menteri dari UMNO dan Bersatu yang membantah peruntukan RM15 juta diberikan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina pada zaman PH termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sendiri.

Oleh itu, Nie Ching memohon agar kerajaan menghormati dan menghargai setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. – Roketkini.com