Uncategorized

Mahu bantu anak-anak pelajar atau main politik?

oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dalam satu kenyataan pada 10 Oktober 2021 meluahkan rasa kecewa dengan kelewatan serius dalam pengagihan komputer riba dan alat peranti elektronik di bawah inisiatif CERDIK.

Menurutnya, inisiatif mulia yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 untuk menyediakan akses digital bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) kepada sekurang-kurangnya 150,000 anak-anak pelajar daripada keluarga susah, dilihat gagal atas dua sebab;

1. Kelewatan melampau dalam pengagihan laptop

Sehingga 25 September 2021 (menurut jawapan Menteri Pendidikan), sejumlah 33,264 unit komputer riba dan peranti belum lagi diagihkan.

Inisiatif ini diumumkan pada November 2020, namun sehingga Oktober 2021, masih terdapat 33,264 unit belum diedarkan, malah dua buah sekolah di Kota Kinabalu masih lagi belum menerima 262 komputer riba atau peranti yang dijanjikan.

2. Agihan komputer riba atau peranti bersifat berat sebelah dan tidak seimbang

Menurut Foong Hin, terdapat 25 buah sekolah di Kota Kinabalu tetapi anehnya hanya pelajar-pelajar dari dua buah sekolah sahaja yang akan diberikan akses digital dari kerajaan.

“Adakah kerana saya bukan penyokong kerajaan?

“Sekolah menengah di kawasan DUN Sulaman yang merupakan kawasan Ketua Menteri Sabah telah diberi keutamaan dan menerima komputer riba serta peranti terlebih dahulu.

“Adakah ini adil apabila sepatutnya secara purata, setiap 222 kawasan Parlimen harus menerima 675 komputer riba atau peranti daripada 150,000 yang dijanjikan menerusi inisiatif CERDIK ini?” Tegas Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah itu.

Dakwa Foong Hin, ini seolah-olah menunjukkan kemungkinan bahawa inisiatif ini telah di “hijack” bagi mendapatkan keuntungan politik atau mungkin terdapat penyalahgunaan kuasa dalam penentuan agihan akses digital untuk anak-anak pelajar.

“Kerajaan perlu segera menjelaskan mengapa hal ini boleh berlaku, jelaskan juga apakah kriteria untuk memperoleh komputer riba dan peranti ini, serta kerajaan juga digesa untuk bertindak seadil-adilnya supaya tidak timbul situasi berat sebelah.” Tegas Foong Hin. – Roketkini.com.