Berita

Mesyuarat J/K Pemandu MoU bawa budaya politik baharu

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) membawa satu budaya politik yang baharu untuk negara ini.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun terdapat perbezaan politik, parti-parti yang terlibat tetap boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencari titik persamaan demi kepentingan negara.

“Mesyuarat hari ini (semalam) turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mesyuarat membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama. Beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada kenyataan tersebut Anthony memaklumkan yang beliau menghadiri mesyuarat tersebut di Bilik Mesyuarat Parlimen petang semalam.

Anthony menjelaskan, mesyuarat tersebut akan diadakan pada hari Isnin setiap dua minggu.

“Sebelum mesyuarat bermula, Perdana Menteri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Ketua Pembangkang untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan Pejabat Menteri,” katanya. – Roketkini.com