Uncategorized

MP DAP bangkit isu penambahbaikan edaran dokumen Parlimen

Oleh Aziera NH

Beberapa Ahli Parlimen DAP berharap penambahbaikan dilakukan terhadap kaedah pengedaran dokumen Parlimen, berbanding menggunakan pemacu pena (pendrive) dan cekera padat (CD).

Sepatutnya dokumen-dokumen tersebut boleh diedarkan menerusi kaedah yang lebih efisien berdasarkan perkembangan teknologi semasa.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto tidak setuju dengan langkah agensi kerajaan menghantar laporan tahunan menggunakan pemacu pena dan CD kepada setiap ahli parlimen.

Ini selepas beliau mendapati sebahagian besar daripada penyimpan data tersebut dibuang ke dalam tong sampah di Dewan Rakyat.

“Semalam, tong sampah di Parlimen penuh dengan CD dan pemacu pena. Yang saya nampak hanyalah wang (dibuang) dalam tong sampah,” ciapnya di Twitter.

Kasthuri berkata, kaedah yang lebih menjimatkan harus digunakan untuk menggantikan amalan itu, dan laporan agensi kerajaan boleh diberikan kepada anggota parlimen dengan cara yang lebih bijak.

Beliau berkata demikian sebagai respons balas kepada ciapan Lukanisman Awang Sauni (PBB-Sibuti) yang membangkitkan isu tersebut di Twitter.

Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam juga bersetuju dengan ciapan Lukanisman dengan mengatakan kini semuanya data boleh diperolehi dengan memuat turun dokumen sedia ada.

“Saya cadangkan kerajaan susunkan fail-fail ini untuk dimuat turun dari portal parlimen dan bukan nak kena cari di merata tempat di laman web setiap agensi,” katanya. 

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi juga berpendapat bahawa dokumen tersebut boleh dikongsi dalam talian.

“Pada pandangan saya, banyak dokumen tersebut hanya boleh dikongsi dalam talian, dan versi percetakan harus diberikan berdasarkan permintaan,” katanya dalam satu hantaran Facebook pagi tadi. – Roketkini.com