Berita, Uncategorized

Wakil rakyat DAP terus proaktif bantu rakyat

Oleh Roketkini

Prihatin dengan kepayahan yang ditempuhi rakyat, wakil-wakil rakyat DAP giat turun padang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Johor antaranya, terus proaktif memberi sumbangan kepada golongan pelajar, warga emas dan anggota masyarakat secara amnya.

Sebagai dorongan kepada golongan pelajar, ADUN Jementah, Tan Chen Choon telah memperuntukkan RM26,000 kepada 23 pelajar di kawasannya yang berjaya mendapat tawaran bagi melanjutkan pelajaran.

Beliau berkata, pendapatan keluarga pelajar-pelajar tersebut telah terjejas sejak pandemik Covid-19.

“Tujuan bantuan kewangan (secara one-off) ini ialah memastikan pelajaran remaja-remaja yang kurang berkemampuan ini dapat diteruskan.

“Saya tidak berharap pelajaran mereka diperhentikan kerana faktor kemiskinan,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, ADUN Bentayan, Ng Yak Howe; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung dan ADUN Senai, Tee Boon Tsong masing-masing telah mengedarkan bakul makanan, Bakul Harapan dan ‘Beg Sayangi Kulai’.

ADUN Yong Peng, Chew Peck Choo pula membantu sebuah keluarga membayar sewa rumah mereka yang telah tertunggak dan berusaha mencarikan rumah sewa baharu yang lebih murah.

Dalam pada itu, ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin menjalankan inisiatif meminjamkan alat pemekat oksigen atau oxygen concentrator kepada pesakit-pesakit Covid-19 yang memerlukan.

Bagi ADUN Perling, Cheo Yee How dan ADUN Skudai, Tan Hong Pin, mereka telah menggerakkan membantu kepada golongan warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin. – Roketkini.com